PRU15: Warga emas 67 tahun akhirnya dapat mengundi pertama kali - Utusan Malaysia

PRU15: Warga emas 67 tahun akhirnya dapat mengundi pertama kali

CHIN MEW YOONG (kiri) menunjukkan MyKad yang diperoleh dengan bantuan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong (kanan) di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang, Jalan Macalister, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang warga emas berusia 67 tahun di sini akhirnya berpeluang mengundi buat pertama kali dalam sejarah hidupnya selepas berjaya mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Impian Chin Mew Yoong, 67, untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad) itu direalisasikan dengan bantuan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) setelah melalui usaha yang panjang hampir 50 tahun.

Mew Yoong berkata, dia dilahirkan di Selangor pada 1955, namun pada usia lima tahun dia dan dua adiknya bersama bapa mereka telah berpindah ke Singapura.

”Ketika berusia 12 tahun, saya dibawa bapa ke pejabat Imigresen untuk membuat kad pengenalan Malaysia, tetapi permohonan kami ditolak.

”Disebabkan itu saya terpaksa memohon status penduduk tetap di Singapura,” katanya.

Mew Yoong ditemui dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Gerakan negeri yang juga calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Bayan Baru, Oh Tong Keong di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mew Yoong, pada usia 20 tahun dia mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang merupakan seorang warganegara Malaysia.

“Sejak itu, saya memohon status warganegara melalui bantuan mendiang Tan Sri Teh Ewe Lim yang merupakan pemimpin Parti Gerakan ketika itu.

”Pada tahun 2009, saya mendapat kad pengenalan merah dengan bantuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon,” katanya.

Tambahnya, bermula pada 2017 pula, dia mendapatkan bantuan Pengerusi Parti Gerakan negeri, Tong Keong sebelum akhirnya berjaya mendapat kad pengenalan dengan status warganegara pada 4 Julai lalu.

”Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada pemimpin Parti Gerakan kerana membantu saya mendapat status kewarganegaraan.

”Saya juga akhirnya dapat mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas lebih 50 tahun menunggu untuk mendapatkan kad pengenalan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN