KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) City memilih laluan sukar apabila tewas 1-0 kepada Terengganu pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Jaringan tunggal penyerang import dari Liberia , Kpah Sherman berjaya memberi kelebihan buat skuad Penyu menjelang aksi suku akhir kedua di Kuala Terengganu Sabtu ini.
Begitupun, tuan rumah jelas mempamerkan penguasaan untuk tempoh 10 minit awal permainan dan mencipta beberapa peluang namun gagal disudahkan dengan jaringan.
Minit ke-14, situasi kelam kabut dalam kotak penalti KL City dimanfaatkan Sherman untuk meledak gol keenam peribadinya sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini sekali gus meletakkan Terengganu memimpin perlawanan.
Jaringan itu nyata mengubah rentak permainan skuad kendalin Nafuzi Zain, apabila gerakan-gerakan mereka menjadi lebih teratur namun kecemerlangan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza berjaya menafikan beberapa lagi peluang merbahaya dicipta Terengganu.
Sekali pun ketinggalan, KL City menyambung perlawanan dengan cukup tenang sebaliknya tetapi dikecewakan dengan sentuhan penyudah tumpul.
Minit ke-62, aksi bertambah ‘panas’ apabila penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin dilayangkan kad merah namun penggantinya, Mohd Shamirza Yusoff juga membuktikan dirinya miliki kualiti sama selepas melakukan aksi menyelamat berganda, bermula dengan sepakan percuma Paulo Josue dan tindakan susulan daripada Giancarlo Gallifuoco.
Lebih 4,000 penonton yang hadir terus dihidangkan dengan permainan saling berbalas serangan tetapi tiada lagi tambahan jaringan mampu dihasilkan.
Sejurus wisel penamat ditiupkan, aksi bertambah panas apabila berlaku pertelingkahan diantara pemain serta pegawai kedua-dua pasukan namun situasi tegang itu tidak berjaya dileraikan oleh pihak polis.-UTUSAN