BIRMINGHAM: Aston Villa menghadiahkan kekalahan keempat Manchester United musim ini selepas berjaya melakar kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Villa Park, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga menjadi permulaan positif buat pengendali baharu Villa Unai Emery selepas menggantikan Steven Gerrard yang dipecat bulan lalu.
Menerapkan corak menyerang, tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi ledakan Leon Bailey seawal minit ketujuh.
Empat minit kemudian gawang United yang dikawal David de Gea dibocori buat kali kedua hasil jaringan pertahanan kiri Lucas Digne.
Tersentak dengan jaringan itu, United cuba mengatur beberapa gerakan namun gagal menemui sasaran ketika Villa jelas lebih banyak mendominasi permainan dengan corak permainan pantas sehingga memberi kesukaran kepada pemain The Red Devils.
Bagaimanapun, sebelum babak pertama berakhir skuad kendalian Erik ten Hag akhir berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan sendiri pemain Villa Jacob Ramsey yang tertampan bola rembatan Luke Shaw.
Bersambung babak kedua, Ramsey berjaya menebus kekecewaan apabila meledak gol ketiga buat tuan rumah pada minit ke-49.
Kekalahan itu menyaksikan United kekal di tangga kelima perlawanan dengan dipisahkan tiga mata dengan Tottenham dikedudukan keempat.-AGENSI