Urusan bayar nafkah calon pun BN semak

Urusan bayar nafkah calon pun BN semak – Ismail Sabri

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saringan calon Barisan Nasional (BN) dilakukan dengan ketat termasuk membabitkan aspek pendaftaran pernikahan dan tanggungjawab mereka melunaskan nafkah anak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua senarai calon BN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan sahaja disaring polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi  membabitkan pejabat agama.

Kata Naib Presiden UMNO itu, semakan itu bagi memastikan urusan pernikahan calon dibuat mengikut undang-undang bagi mengelakkan isu yang timbul kelak.

“Kali ini dengan pejabat agama, pejabat kadi kita kena check (semak) juga, takut kahwin dekat Siam, takut timbul isu nanti. Ada isu isu nafkah anak tak bayar, dah masuk judgement (keputusan) mahkamah syariah. 

“Kalau dulu kita tak pernah check seperti itu, tetapi kali ini lebih details (teliti),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, semua parti politik mengenakan syarat ketat pemilihan calon bertanding PRU-15 termasuk isu poligami di Siam dan memalsukan kelulusan akademik.

Ia bagi memastikan isu peribadi dan rekod salah laku tidak menjadi ‘bola tanggung’ musuh politik masing-masing sepanjang kempen PRU-15 sehingga menjejaskan potensi kemenangan.

Semakan itu bukan sahaja melibatkan integriti dan bebas jenayah tetapi rekod peribadi lampau di samping memastikan perkahwinan mereka sama ada dengan isteri kedua atau seterusnya melalui proses yang sah dan didaftarkan di negara ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, senarai calon BN PRU15 masih dalam proses dan pihaknya termasuk Top Five akan mengadakan perbincangan sekali lagi pada pada masa terdekat.

Beliau memaklumkan, pihaknya sebelum ini telah mendapatkan pembentangan daripada semua pengerusi badan perhubungan negeri untuk kali pertama berkenaan senarai calon.

“Kita pun kena semak dengan polis, SPRM, Jabatan Insolvensi dengan nama-nama dicadangkan itu dengan terlebih dahulu,” katanya.

Kata Ismail Sabri, BN akan mengumumkan manifesto dalam masa terdekat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN