ALOR GAJAH: Perjalanan sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia setahun dari Johor Bahru, Johor untuk bercuti di ibu negara berubah tragedi selepas ketiga-tiganya maut dalam kemalangan di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran Alor Gajah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.00 pagi itu, mangsa, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi dan isterinya, Zubaidah Abd. Rajak yang masing-masing berusia 28 tahun serta bayi mereka, Muhammad Rizqi meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Muhamad Ezanee Hamat berkata, panggilan kecemasan diterima pihak bomba pada pukul 11.02 pagi.

Katanya, sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin, Negeri Sembilan dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita dapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Honda Jazz yang dinaiki mangsa sepasang suami bersama bayi mereka dan sebuah lori dua tan.
“Tiga beranak itu telah disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, kesemua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
“Nahas tersebut turut menyebabkan kesesakan trafik lebih lima kilometer. Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, lori jenis Isuzu yang sedang menjalankan kerja pembaikan pembahagi jalan tengah telah berhenti di lorong paling kanan dan proses meletakkan kon.
“Manakala kereta mangsa jenis Honda Jazz yang datang dari arah belakang telah melanggar lori tersebut.
“Akibat pelanggaran tersebut, ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu lori telah ditahan untuk siasatan,” katanya. – UTUSAN










