Tiada keadaan luar biasa semak keputusan mahkamah

Tiada keadaan luar biasa semak keputusan mahkamah – Pendakwa

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menunjukkan keadaan luar biasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd..

Pihak pendakwaan menyatakan, bekas Perdana Menteri juga gagal mengemukakan sebarang justifikasi bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa budi bicara menyemak keputusan panel terdahulu pada 23 Ogos lalu yang menolak rayuan akhirnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul menyatakan, pendapat Najib selaku pemohon bahawa keputusan terdahulu wajar disemak, adalah salah dan tanpa merit serta satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau menyatakan, pasukan pembelaan baharu yang mewakili Najib diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak mempunyai alasan yang sah untuk memohon penangguhan selepas menerima ‘brief’ bersama tarikh pendengaran yang ditetapkan bermula 15 Ogos lalu.

Ujarnya, peguam itu tidak boleh menarik diri sesuka hati kerana beliau kekal mewakili Najib selepas tarikh pendengaran ditetapkan, namum peguam itu enggan berhujah dalam rayuan utama sehingga 23 Ogos lalu.

“Tiada pratimbangan (prejudgement) dalam rayuan utama kerana penghakiman muktamad diberikan pukul 4pm, 23 Ogos 2022,” ujar afidaviti itu.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah tidak melaksanakan budi bicara di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 serta menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh Najib.

Mohd. Ashrof menyatakan demikian ketika menjawab afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Najib pada 6 September lalu.

Dalam afidavit jawapannya, Mohd. Ashrof menyatakan, kes ini tidak menunjukkan keadaan yang istimewa yang mewajarkan semakan dilakukan kecuali bidang kuasa itu disalahgunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan.

Ujarnya, permohonan semakan wajar ditolak kerana bidang kuasa sedia tidak seharusnya disalahguna kerana ia akan menyebabkan proses litigasi yang berlarutan tanpa penghujung.

Menurut afidavit itu, permohonan untuk penangguhan pelaksanaan sabitan telah dibenarkan sepanjang tempoh proses rayuan.

“Setelah satu rayuan selesai diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, tiada perkara yang tinggal untuk dipelihara dan tidak sesuai bagi mahkamah ini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman,” ujar Mohd. Ashrof.

Afidavit itu menafikan bahawa Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ‘membela’ hakim bicara kes SRC, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Sebaliknya kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar bertarikh 21 April lalu jelas menunjukan pendirian tegas badan kehakiman yang tidak membenarkan percubaan untuk campur tangan melalui penerbitan dalam talian yang palsu dan berniat jahat.

Pada 6 September lalu, bekas Perdana Menteri memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan manakala pengurusan kes kali pertama ditetapkan pada 21 Oktober ini.

Najib memohon menyemak keputusan panel itu yang menolak permohonan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan hakim bicara dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Najib turut menyemak keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara daripada mendengar rayuan akhir tersebut.

Beliau turut memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai.

Antara alasan yang dikemukakan Najib dalam notis usul semakan itu ialah Hakim Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar perbicaraan itu kerana beliau merupakan bekas Kaunsel Kumpulan Maybank yang memberikan pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Beliau juga menyatakan, pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan ruang dan peluang untuk bersedia sebelum berhujah dalam rayuan akhir itu.

Najib juga mendakwa pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan.

Selain itu, bekas Presiden UMNO itu menyatakan berlaku konflik kepentingan apabila Hakim Tengku Maimun enggan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut sedangkan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dikatakan menunjukkan rasa tidak senang terhadap Najib sejak Mei 2018.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.