Tahap celik kewangan digital di Malaysia masih rendah - Utusan Malaysia

Tahap celik kewangan digital di Malaysia masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap celik kewangan digital di Malaysia masih rendah dan amat membimbangkan apabila masih ada individu sanggup berkongsi kata laluan atau nombor PIN akaun bank mereka dengan kawan rapat, menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew.

Beliau berkata, berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan (FCI) 2021 yang dijalankan oleh BNM mendapati bahawa satu daripada tiga individu sanggup berbuat demikian.

Ujarnya, hal ini meningkatkan risiko penipuan dalam talian, termasuk diperalatkan sebagai ‘akaun keldai’ sama ada secara sedar atau tidak sedar bagi memudahkan kegiatan penipuan.

“Hampir dua daripada tiga individu tidak memberikan perhatian pada ciri-ciri keselamatan laman sesawang sebelum mereka melakukan transaksi dalam talian. 

“Kesannya, individu lebih mudah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan mereka melalui laman sesawang palsu yang membolehkan penipu menggunakan maklumat tersebut untuk melakukan penipuan. 

“Penggunaan peranti dan aplikasi mudah alih yang kurang teliti juga telah menyebabkan individu menjadi mangsa penipuan seperti pancing data, penggodaman dan kecurian data,” katanya pada pelancaran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

Program jelajah seluruh negara sepanjang bulan ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan pendidikan kewangan, terutamanya tentang celik kewangan digital. 

Inisiatif ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik bagi mengukuhkan keselamatan siber pengguna kewangan semasa melakukan aktiviti dalam talian dan ceramah pengurusan kewangan peribadi. 

Sepanjang FLM2022, bas FEN Mobile akan menjelajah ke 61 lokasi di seluruh negara dari kawasan pusat bandar ke kawasan luar bandar. 

FEN Mobile ini menyediakan sumber pendidikan kewangan bebas secara percuma meliputi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan dan khidmat nasihat mengenai pengurusan hutang oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan untuk pendaftaran e-CCRIS bagi mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian. 

Maklumat mengenai lokasi bas dan jelajah boleh didapati menerusi www.fenetwork.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya