Sunak hampiri jawatan PM Britain - Utusan Malaysia

Sunak hampiri jawatan PM Britain

RISHI Sunak 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ahli politik Parti Konservatif, Rishi Sunak berjaya mencapai tahap ambang minimum undian untuk bertanding dalam pemilihan Perdana Menteri Britain yang baharu. 

Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri, Boris Johnson juga dikhabarkan mengambil langkah berani untuk membuat penampilan semula.

Anggota Kabinet, Penny Mordaunt menjadi yang pertama mengisytiharkan pencalonannya secara rasmi, selepas parti pemerintah United Kingdom (UK) itu dipaksa menyertai pertandingan kepemimpinan kedua berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Liz Truss.

Penyokong bernama Tobias Ellwood menerusi Twitter menyifatkan sebagai satu penghormatan bagi dirinya untuk menjadi Ahli Parlimen Tory ke-100 menyokong #Ready4Rishi.

Beberapa penyokong Sunak turut mendedahkan bekas menteri kewangan itu berjaya mengukuhkan kedudukannya untuk merebut jawatan Perdana Menteri Britain.

Sunak secara automatik akan menjadi ketua parti dan perdana menteri sekiranya pesaingnya gagal memenangi 100 pencalonan daripada barisan Ahli Parlimen Parti Tory.

Sementara itu, Menteri Keselamatan, Tom Tugendhat yang pernah ‘mencalonkan’ diri sebagai ketua selepas Johnson digulingkan pada Julai lalu, menggesa bekas perdana menteri terpalit skandal itu agar tidak menyertai persaingan tersebut. 

“Ini bukan masanya untuk permainan politik, bagi skor undian mahupun melihat ke belakang,” katanya yang menyokong Sunak.

Ketika ini, Sunak mahupun Johnson belum mengisytiharkan kepada umum akan bertanding merebut jawatan perdana menteri. 

Bagaimanapun, Johnson dikatakan memendekkan masa percutiannya di kepulauan Caribbean hanya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Isnin depan bakal menyaksikan Ahli Parlimen Parti Tory mengadakan undian sebelum kemungkinan pengundian dalam talian diadakan untuk anggota parti pada minggu depan.

Laman sesawang politik, Guido Fawkes yang menjalankan undian sokongan Ahli Parlimen Tory, mendapati Sunak memperoleh sebanyak 103 undi, Johnson (68) dan Mordaunt (25). – AFP   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN