RHB Islamic, Pernas bekerjasama perkasa 42 usahawan asnaf dan B40 - Utusan Malaysia

RHB Islamic, Pernas bekerjasama perkasa 42 usahawan asnaf dan B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Islamic Bank Bhd. (RHB Islamic) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) bakal memperkasakan 42 usahawan mikro pra-francais dalam kalangan asnaf dan komuniti B40 melalui program B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (BEST-BYOB).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, program BEST-BYOB menggabungkan kekuatan unik daripada projek asal BYOB oleh Pernas dan program BEST oleh RHB Islamic.

Menurutnya, kolaborasi ini bakal mempertingkatkan mutu program dengan menghasilkan pakej keusahawanan yang lebih lestari, holistik dan kompetitif bagi memberi manfaat kepada bakal pemilik perniagaan pra-francais terutamanya dari kalangan asnaf dan B40.

“Program BEST-BYOB menyediakan saluran bimbingan dan panduan kepada usahawan mikro pra-francais berdasarkan sistem pra-francais Transformasi Perniagaan (BIT) di mana di bawah program ini, peserta boleh memohon geran sehingga RM10,000 daripada RHB Islamic dengan peruntukan sebanyak RM500,000 selain pembiayaan tambahan di bawah Skim Pembiayaan Pra-Francais BIT.

“Inisiatif ini juga memperluaskan lagi jaringan ekosistem RHB Harmoni, khususnya penggunaan berasaskan nilai (VBI) dalam menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi dalam melaksanakan kewangan sosial Islam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, inisiatit tersebut turut mencerminkan sokongan RHB Islamic kepada iTEKAD yang merupakan suatu inisiatif khas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggerakkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sadaqah.

“Kami berharap dapat mempelbagaikan lagi usaha dan sokongan kepada golongan usahawan asnaf dan B40 dalam membina ketahanan kewangan dan mampu menjana pendapatan yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim menyifatkan jaringan kerjasama strategik dan sinergi di antara Pernas dan RHB Islamic di dalam program BEST-BYOB ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak di samping bakal memberi impak positif dalam aspek ekonomi dan sosial.

“Dari aspek ekonomi misalnya bakal-bakal usahawan dapat menjana pendapatan harian sambil mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan daripada golongan B40 dan asnaf di dalam bidang francais dan pra-francais sekaligus menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Peserta Program BEST-BYOB yang layak akan dipadankan dengan pelbagai jenama pra-francais di bawah sistem pra-francais BIT seperti Nab Peneram, Mekeria, Bubur Ayam Dahlia, Uncle’s Putu Piring, Golden Takoyaki dan banyak lagi.

Pemilik jenama pra-francais BIT juga berpeluang mendapat manfaat dari khidmat pakej RHB SME e-Solution oleh RHB Islamic yang menyediakan
saluran perbankan internet komprehensif dan pelbagai fasiliti akaun perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya