Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK hampir kembali pada paras sebelum pandemik - Utusan Malaysia

Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK hampir kembali pada paras sebelum pandemik

Malaysia sasar pertumbuhan ekonomi negara 5 peratus setahun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah kembali menghampiri paras sebelum pandemik pada 84.5 peratus. 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, bank di negara ini juga terus mengekalkan piawaian pemberian pinjaman berhemat dalam keadaan pemulihan pemberian pinjaman isi rumah yang berterusan. 

Katanya, perkara tersebut membantu mengekalkan penampan bayaran balik pinjaman yang kukuh dalam kalangan isi rumah dan keupayaan mereka untuk menguruskan kesan peminjaman yang lebih tinggi serta kos-kos lain. 

“Bahagian hutang isi rumah di bawah bantuan bayaran balik pinjaman menurun dengan ketara daripada 18.8 peratus pada Disember 2021 kepada 2.4 peratus pada Jun 2022, dengan penurunan bahagian hutang isi rumah yang lebih berisiko tinggi seperti yang dilaporkan oleh bank-bank. 

“Nisbah pinjaman terjejas dan delinkuen isi rumah meningkat sedikit tetapi terus kekal rendah dan dalam jangkaan pada masing-masing 1.2 peratus dan 0.6 peratus,” katanya dalam  Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Pertama 2022 yang diterbitkan di sini semalam.

Bank pusat itu berkata, beberapa segmen peminjam isi rumah yang mempunyai leveraj yang tinggi dan penampan kewangan yang terhad boleh mengalami tekanan kewangan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dan bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi bagi pinjaman berkadar terapung. 

Menurutnya, peminjam yang masih di bawah tempoh lanjutan bantuan bayaran balik pinjaman juga mungkin menimbulkan risiko yang lebih tinggi, namun risiko berkaitan peminjam sebegini dijangka dapat dibendung. 

“Bahagian pinjaman isi rumah yang dikelaskan oleh bank-bank sebagai mempunyai risiko kredit yang lebih tinggi (pinjaman Tahap 2) terus menurun kepada 7.9 peratus (Disember 2021: 8.5 peratus). 

“Hal ini dijangka akan terus menurun sepanjang tahun ini apabila lebih banyak peminjam yang telah keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman menamatkan tempoh ‘pemerhatian’ minimum untuk bayaran balik pinjaman. 

“Bank-bank telah menyediakan penampan peruntukan yang mencukupi terhadap risiko ini dan terus memberikan bantuan yang sewajarnya kepada peminjam isi rumah yang masih menghadapi cabaran kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, BNM berkata, prestasi kewangan sektor perniagaan terus bertambah baik sejajar dengan kegiatan ekonomi yang disambung semula sepenuhnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, pemulihan kekal tidak sekata dan lebih perlahan dalam subsektor ekonomi tertentu. Keseluruhan pinjaman terjejas perniagaan kekal rendah pada 1.1 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. 

“Bahagian pinjaman perniagaan dengan risiko kredit yang lebih tinggi terus menurun kepada 14.4 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan sejajar dengan keadaan perniagaan yang beransur-ansur bertambah baik,” jelasnya.

Ujarnya, bahagian pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah bantuan bayaran balik pinjaman telah berkurang separuh kepada 13.1 peratus daripada jumlah pinjaman PKS atau 2.3 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya