Lebih sejuta jemaah tunai umrah sejak 30 Julai 2022 - Utusan Malaysia

Lebih sejuta jemaah tunai umrah sejak 30 Julai 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Seramai 1,267,490 jemaah tiba di Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah pada 1 Muharam 1444 (30 Julai) sehingga Selasa lalu.

Sebilangan besar 880,929 jemaah umrah tiba melalui pintu masuk lapangan terbang, menurut laporan Kementerian Haji dan Umrah.

Jemaah dari Indonesia, menduduki tempat pertama di antara negara yang menghantar jemaah paling ramai dengan seramai 317,200 jemaah.

Lapor Saudi Gazette, Pakistan menduduki tempat kedua dengan 195,224 jemaah, manakala India di tempat ketiga dengan 133,517 jemaah diikuti Iraq dengan 86,803 jemaah.

Terdapat 470 syarikat di negara ini yang diberi lesen untuk menyediakan perkhidmatan kepada jemaah umrah dan pelawat sepanjang musim umrah 10 bulan yang akan berakhir pada 29 Zulkaedah, sejurus sebelum ziarah tahunan haji.

Arab Saudi melanjutkan tempoh visa umrah daripada sebulan kepada tiga bulan dan jemaah dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke seluruh negara dalam tempoh visa mereka. Tempoh visa akan berakhir sebelum tiga bulan jika ia bertindih dengan musim haji.

Kementerian Haji dan Umrah menegaskan perlunya syarikat umrah komited menyediakan pakej perkhidmatan diperlukan jemaah dengan tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam sektor berkenaan dan memudahkan perjalanan jemaah dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Kerajaan 2030.

Kementerian menjelaskan, syarikat umrah diwajibkan mengeluarkan permit untuk membolehkan jemaah menunaikan umrah dan solat di Rawdah Sharif di Masjid Nabawi di Madinah dan memudahkan pergerakan ke Masjidilharam, mengikut masa yang diluluskan dalam permit.

Prosedur itu juga termasuk mereka yang ingin mengulangi umrah ketika berada di Mekah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN