Betulkan niat kalau nak jadi anak seni - Ramlah Ram - Utusan Malaysia

Betulkan niat kalau nak jadi anak seni – Ramlah Ram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi senior, Ramlah Ram menasihatkan bakat baharu agar tidak mengambil jalan mudah dengan membiarkan diri diperalat individu tertentu semata-mata untuk hidup mewah.

Kata penyanyi Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu, anak seni harus pandai menjaga diri dan mengelak daripada terjebak dalam perkara yang menjatuhkan maruah.

“Dalam dunia hiburan, jalan ke arah negatif itu terbuka luas. Ada yang meminta artis memberi ‘perkhidmatan lebih’ dengan bayaran lumayan. Kalau gelap mata, senang terjerumus.

“Pucuk pangkal terletak pada diri sendiri. Kita tidak boleh salahkan dunia artis. Berbalik kepada kita untuk tentukan jalan yang kita pilih.

“Ibu bapa sudah ajar, begitu juga di sekolah. Kita kena tahu untuk pilih, mana yang baik dan mana yang buruk,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Kempen Best Produk di KL Eco City, di sini, baru-baru ini.

Penyanyi bersuara lantang itu juga menyarankan kepada mereka yang ingin memasuki dunia seni agar memperbetulkan niat dan mengingatkan tujuan sebenar berada dalam bidang ini.

“Contoh, nak jadi penyanyi untuk apa sebenarnya? Kalau semata-mata untuk kesenangan, nescaya seseorang itu mudah terjebak dengan perkara negatif untuk mendapatkan duit dengan cara mudah tanpa perlu bersusah payah.

“Alhamdulillah, selama menjadi artis, saya jaga diri dan paling penting, sentiasa ingat Allah serta ibu bapa. Itu caranya untuk selamat,” katanya.

Jelas Ramlah lagi, dia amat bersyukur kerana tidak pernah mengabaikan pesanan kedua-dua orang tuanya agar tidak meninggalkan solat dan sentiasa menjaga adab serta perilaku.

“Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar 1986, mak bekalkan saya telekung, sehelai kain batik dan buku doa yang masih saya simpan sampai sekarang.

“Jaga solat, itu pesan mak. Bagaimanapun, kita manusia lemah. Apa juga kesalahan kita buat, kena kembali kepada Allah. Nak cakap lebih pun tidak boleh sebab kita tidak sempurna. Tetapi, berdasarkan pengalaman, itu yang boleh saya kongsikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya