SEREMBAN: Perjumpaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan dengan kepemimpinan DAP negeri tidak membincangkan serta menjurus mengenai kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Muda Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar berkata, kedua-dua pihak pada pertemuan hanya membincangkan kerjasama yang boleh diambil khususnya mengenai isu-isu berkepentingan rakyat.
Katanya, pertemuan itu juga bertujuan merapatkan hubungan Muda dengan parti-parti dalam PH di Negeri Sembilan.
“Tiada apa-apa perkara menjurus pilihan raya dibincangkan termasuk kerjasama dalam gerak kerja untuk PRU15.
“Tugas kami adalah merapatkan hubungan dengan PH di Negeri Sembilan. DAP juga dalam pertemuan itu nampak terbuka apalagi isu melibatkan rakyat, ” katanya hari ini.
Semalam Tarmizi menerusi kenyataan memberitahu, persetujuan Muda untuk menyertai PH pasti mengukuhkan hala tuju parti itu termasuk di peringkat negeri-negeri dalam merangka gerak menghadapi PRU15.
Beliau menambah, persetujuan itu seperti dinyatakan oleh Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga pastinya memberi impak positif dalam membina hubungan kukuh dengan PH Negeri Sembilan.
Menurutnya, Muda Negeri Sembilan juga telah mengadakan perjumpaan dengan DAP Negeri Sembilan dan kedua-dua pihak bersetuju memperkasa gerak kerja bersama dalam isu-isu melibatkan rakyat.
Kenyataan Tarmizi itu menimbulkan polemik dalam media-media sosial terutama di pihak yang tidak bersetuju berlakunya kerjasama antara PH dan Muda.
Sementara itu, mengulas mengenai nasihat dan teguran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli supaya semua parti pembangkang untuk mengelakkan dari mengumumkan kerusi yang ditandingi, Tarmizi berkata, beliau mengambil maklum dan akan memperbaiki perkara tersebut.
“Ini hanya penilaian dan belum ditetapkan. Mesti melalui proses sebetulnya dan fokus utama adalah untuk lawan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), ” katanya.
Pandangan Rafizi tersebut merujuk kepada kenyataan Tarmizi seperti yang dilaporkan sebuah portal berita bahawa Muda Negeri Sembilan menyasarkan Parlimen Kuala Pilah untuk ditandingi pada PRU15. – UTUSAN











