Pelajar 13 tahun maut kereta bertembung pacuan empat roda

Pelajar 13 tahun maut kereta bertembung pacuan empat roda

KEADAAN kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 59.5, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Tanah Merah, Lubok Merbau di Padang Rengas, Perak, semalam. - IHSAN APM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut setelah kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 59.5, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Tanah Merah, Lubok Merbau, di sini semalam.

Nahas pada pukul 12.25 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Amir Asyraf Othman Jaludin dari Kampung Padang Stang, Gerik di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Axia dinaiki mangsa dan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dipandu pesara tentera berusia 40 tahun.

Katanya, ketika kejadian, pacuan empat roda dinaiki lima beranak termasuk bayi lelaki berusia dua bulan itu dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menuju ke arah Gerik.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Axia dipandu abang mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan. Kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dan mengakibatkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang maut akibat kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, nahas itu menyebabkan abang mangsa berusia 20 tahun cedera  pada kaki kanan dan pendarahan pada bahagian abdomen manakala penumpang hadapan berusia 35 tahun cedera kaki kanan dan luka di perut.

Katanya, pemandu Nissan Navara dari Felda Lui Selatan 1 bersama isteri dan dua anak berusia tiga dan lima tahun mengalami kecederaan di bahagian badan manakala bayi lelaki mereka selamat.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut. Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan hari ini di hospital sama. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN