MERSING: Polis mengambil keterangan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad susulan laporan dibuat pegawai khas beliau terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).
Abd. Latiff dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau telah didatangi pegawai polis pagi tadi.
“Susulan laporan polis yang dibuat terhadap saudara Rafizi Ramli oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas saya pada 30 Ogos 2022, saya telah didatangi oleh pegawai polis pagi tadi untuk diambil keterangan.
“Saya tegaskan bahawa saudara Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga hanya semata-mata untuk kepentingan politik. Ini adalah satu perbuatan keji yang dikutuk oleh al-Quran,” katanya dalam kenyataan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu turut menegaskan akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan projek tersebut.
“Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa sebagai anggota Kabinet, saya akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN