JDT II hampiri kejuaraan, benam Terengganu II 

JDT II hampiri kejuaraan, benam Terengganu II 

Penyerang JDT II Daryl Sham meraikan gol jaringannya.-UTUSAN/RAJA JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) semakin hampir merangkul kejuaraan Liga Perdana selepas menewaskan pasukan Terengganu FC II 3-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT II mengumpul 39 mata menerusi 17 perlawanan, tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Kelantan FC.

Ini bermakna, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan satu mata sahaja pada aksi terakhir ketika menentang Selangor II di tempat lawan untuk muncul juara.

Perlawanan yang berlangsung di hadapan kira-kira 1,000 penonton menyaksikan aksi seimbang antara kedua-dua pasukan yang bernafsu memburu gol pembukaan.

Pasukan tuan rumah memecahkan kebuntuan hasil jaringan Daryl Sham yang mendapat umpanan Adam Farhan Mohd. Faizal sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin pada minit keenam.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan bimbingan Badrul Afzan Razali meningkatkan serangan bagi menyamakan kedudukan.

Bersambung babak kedua, JDT II berusaha untuk menambah jaringan menerusi percubaan Adam Farhan, namun gagal menewaskan Syed Muhammad Nasrulhaq dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-51.

Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir permainan, pemain gantian, Umar Hakeem Suhar Rezwan memastikan kemenangan mutlak skuad Harimau Selatan apabila memanfaatkan umpanan Daryl Sham dengan melakukan tolakan ke gawang yang tidak dikawal pada minit ke-82.

Sidibe menambah derita pasukan pelawat apabila meledak gol ketiga tuan rumah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN