PADANG TERAP: Cadangan usaha bagi membela nasib penoreh getah di negara ini yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan yang dijadualkan pada minggu depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sudah pun selesai dan akan kini menunggu perbincangan dengan Kementerian Kewangan.
“Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.
“Perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan daripada kerajaan buat mereka,” katanya selepas merasmikan Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di sini, hari ini.
Isnin lalu, Mahdzir memaklumkan terdapat dua syor yang akan dikemukakan kementerian itu kepada Perdana Menteri dalam membela nasib golongan penoreh getah di negara ini.
Syor pertama adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada cuma tiga bulan kepada enam bulan manakala syor kedua adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada cuma RM2.50 ketika ini kepada RM3.
Ketika ini harga getah sekerap berada pada paras RM2.30 hingga RM2.40.
Ditanya sama ada terdapat peneroka mahupun pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memohon mahu menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan harga tersebut, Mahdzir berkata, memang terdapat permohonan sedemikian sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.
“Mereka mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi. Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, Risda menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar.
“Permohonan itu memang ada tetapi berapa ramai individu yang membuat permohonan itu, saya tak ada angkanya sekarang,” katanya. – UTUSAN










