AMSTERDAM: Belanda akan menguji penjaga gol mereka dalam sesi latihan penentuan sepakan penalti khas minggu ini sebagai persiapan menjelang Piala Dunia di Qatar hujung tahun ini, kata jurulatih Louis van Gaal semalam.
Dia memanggil empat penjaga gol untuk aksi Liga Negara-Negara menentang Poland dan Belgium minggu ini ketika Belanda berusaha menamatkan kempen kumpulan di tangga teratas, sekali gus mara ke pusingan akhir Jun depan.
Bagaimanapun kata Van Gaal, keutamaannya adalah persiapan terakhir untuk menghadapi Piala Dunia di Qatar pada November, di mana skuad Oranje diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, selain Ecuador dan Senegal.
Dia telah memanggil dua lagi penjaga gol untuk sesi khas menyelamatkan sepakan penalti.
“Saya sedang mencari ‘pembunuh’ penalti terbaik dan kami sedang menguji semua penjaga gol,” katanya dalam sidang akhbar.
Van Gaal mencipta nama pada Piala Dunia 2014 apabila menukar penjaga gol beberapa minit sebelum tamat masa tambahan dalam perlawanan suku akhir menentang Costa Rica di Brazil.
Dia mengeluarkan Jasper Cillessen dan memasukkan Tim Krul, yang kemudian menyelamatkan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan Belanda.
“Saya sentiasa mencari kelebihan kecil dan sebab itu saya memberi perhatian khusus kepada isu ini.
“Kami mengimbas kembali masa lalu bagaimana penentuan sepakan penalti memainkan peranan besar dalam Piala Dunia,” katanya.
Van Gaal berkata, dia akan memilih empat penjaga gol dalam skuad 26 pemain ke Piala Dunia jika dibenarkan.
“Saya belum pasti lagi kerana FIFA belum memberi penjelasan kepada kami mengenai isu ini tetapi saya fikir ia logik untuk berbuat demikian,” katanya. – AGENSI