SHAH ALAM: Seorang bayi berusia lapan bulan antara lima yang terlibat dalam kemalangan maut di Persiaran Tengku Ampuan semalam sedang bertarung nyawa akibat mengalami keretakan pada bahagian tengkoraknya.
Malah, bayi perempuan itu kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan masih memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, wanita berusia 38 tahun yang merupakan ibunya pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam dan dalam keadaan koma selepas menjalani pembedahan limpa.
“Sementara dua lagi anak perempuannya berusia empat dan tujuh tahun pula masing-masing mengalami patah pada tulang peha dan tulang kaki kanan serta menjalani pembedahan, hari ini.
“Bayi perempuan berusia lapan bulan pula dirawat di HTAR selepas cedera di kepala dengan tengkorak retak dan masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya, kepada pemberita hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kemalangan maut mengorbankan seorang lelaki dan menyebabkan isteri serta tiga anaknya termasuk seorang bayi parah berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah semalam.
Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 39 tahun dipercayai terbabas dan terlanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan di Persiaran Tengku Ampuan hala Persiaran Kuala Selangor.
Pemandu kenderaan itu disahkan maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.
Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354 bagi membantu siasatan. – UTUSAN










