PETALING JAYA: Perjuangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) terhenti pada pusingan 16 terbaik setelah kecundang 5-0 kepada Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama, sebentar tadi.
Tindakan penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang ingin menumbuk bola tetapi pada penglihatan pengadil perlawanan, mendakwa dia melakukan kekasaran ke atas pemain tengah tuan rumah, Yusuke Matsuo, sekali gus menyaksikan tendangan penalti dihadiahkan kepada Urawa Red.
Peluang itu mudah disempurnakan pemain import dari Denmark, Alexander Scholz untuk meletakkan pasukannya mendahului seawal minit kelapan.
Corak permainan hantaran pendek yang disajikan anak didik Ricardo Rodriquez nyata gagal ditandingi JDT menyaksikan tuan rumah lebih banyak menguasai permainan.
Sementara skuad Harimau Selatan dilihat lebih banyak menanti serangan Urawa Red di kawasan sendiri.
Tekanan yang diberikan pasukan Urawa Red berjaya menghadirkan jaringan kedua menerusi ledakan David Moberg Karlsson pada minit ke-19.
Moberg yang merupakan antara penjaring terbanyak Liga Jepun (Liga J) sekali lagi menemui sasaran apabila menjaringkan gol kedua peribadinya 20 minit kemudian untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-0.
Memasuki babak kedua, JDT yang dibimbing Hector Bidoglio mula menemui rentak dan cuba mengimbangi corak permainan lawan, namun masih gagal menembusi benteng tuan rumah.
Sebaliknya, juara ACL dua kali, Urawa terus menambah derita JDT apabila memperolehi dua lagi gol hasil ledakan pemain gantian, Kasper Junker pada minit ke-86 dan masa tambahan separuh masa kedua.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada JDT yang membuat penampilan sulung di pusingan kalah mati, namun jurang kualiti permainan dengan Urawa Red nyata terlalu jauh.
Mungkin sahaja, terlalu selesa di saingan Liga Malaysia dan gagal mendapat lawan setaraf mereka di liga tempatan menjadi antara faktor prestasi hambar JDT pada perlawanaan berkenaan.
Sejarah telah dicipta JDT dan mereka masih memegang status kelab pertama Malaysia yang bersaing di peringkat 16 terbaik dalam saingan peringkat elit Asia. – UTUSAN ONLINE