LIMBANG: Seramai 95 orang calon sekolah di Sarawak berjaya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2021.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding hanya 89 orang calon pada tahun 2020.
Selain itu, seramai 1,924 orang calon telah mendapat PNGK 3.00 ke atas.
“Seorang calon Bryan Lim Kien Seng dari SMK Sacred Heart, Sibu telah diiktiraf sebagai calon terbaik STPM 2021 negeri Sarawak. Manakala, seorang pelajar Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Nur Hamizah Mohd Fuzi, merupakan murid kategori rabun dari SMK Bako turut mencatatkan cemerlang dengan memperoleh PNGK 3.42.
“Dalam pada itu, sebanyak 10 buah sekolah di Sarawak telah mencapai keputusan STPM 2021 yang amat memberangsangkan dengan merekodkan PNGK melebihi 3.00,” katanya pada majlis pengumuman Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di SMK Kubong Limbang, semalam.
Jelasnya antara sekolah tersebut adalah SMK Bako Kuching, SMK Sacred Heart Sibu, SMK Batu Lintang Kuching, SMK Merbau Miri, SMK Sungai Merah Sibu, SMK Green Road Kuching, SMK Kampung Nangka Sibu, SMK Saribas Beyong, SMK Tung Hua Sibu dan SMK Asajaya Samarahan.
Katanya, seramai 5,769 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 di seluruh Sarawak melalui 81 pusat berdaftar, berbanding 5,768 orang calon pada sesi 2020.-UTUSAN