Perjumpaan di Seri Perdana, WTC tidak bincang isu Najib

Perjumpaan di Seri Perdana, WTC tidak bincang isu Najib – Ab. Rauf

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Kita semalam (bincang), pastikan semua jentera seluruh negara bersedia hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mungkin berlaku pada bila-bila masa. Dan kesiap-siagaan ini memberikan satu petunjuk kepada pucuk pimpinan parti,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkenaan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.

Ab. Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, isu yang menyentuh perihal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak disentuh dalam perbincangan tersebut, termasuk soal keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Ahli Parlimen Pekan itu hari ini.

“Tak ada (bincang pasal Najib),” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di ruang legar Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, beberapa pemimpin UMNO dilihat memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana sejak pukul 6 petang semalam.

Antara yang terawal dilihat memasuki kompleks berkenaan adalah kenderaan milik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan mesyuarat tergempar ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ab. Rauf menjelaskan, tiada perbincangan kononnya untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam perbicaraan Najib.

“Tak ada, dan kita pun kalau berlaku perkara itu (desakan), kita tak akan memberi sokongan kerana tidak nampak bahawa kerajaan yang diterajui UMNO, mesti tidak nampak mencampuri urusan pentadbiran mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN