ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas merempuh seorang kelindan warga asing dan belakang sebuah lori jenis Nissan dalam kemalangan di Kilometer (KM) 206.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Alor Gajah di sini, kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi.
Mangsa, Rosli Yaacob, 39, seorang penjual burger yang beralamat di Kemayan, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada keseluruhan badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu memaklumkan, nahas berkenaan membabitkan tiga buah lori dan sebuah motosikal, dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah lori kurier yang memperlahankan kenderaannya kerana terdapat pembinaan jalan di lorong paling kanan.
Beliau berkata, selepas itu, sebuah lori ayam di belakang turut memperlahankan kelajuan dan menyalakan lampu amaran (double signal) sebelum dirempuh lori Nissan.
“Setelah pelanggaran berlaku, lori ayam menggelongsor ke depan melanggar belakang lori kurier. Lori Nissan terhenti tanpa sebarang lampu di lorong paling kiri, pemandunya tersepit dalam kenderaan.
“Apabila lori Nissan terhenti tanpa lampu isyarat dan papan tanda amaran di belakang, selang beberapa minit kemudian kelindan lori ayam telah menjaga jalan dengan menggunakan isyarat lampu telefon bimbit di lorong kecemasan.
“Kemudian datang penunggang motosikal jenis Benelli TRK502 melanggar kelindan berkenaan dan merempuh belakang lori jenis Nissan. Penunggang itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu yang tersepit dan kelindan warga asing mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Arshad, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian cuaca adalah baik. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










