Melaka bakal jadi mangsa ratahan JDT?

Melaka bakal jadi mangsa ratahan JDT?

PEMAIN JDT memberi fokus sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Melaka United di laman sendiri malam ini.-IHSAN JOHOR Southern Tigers
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Melaka United FC dijangka bakal menjadi mangsa lepas geram Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tersingkir daripada pusingan 16 terbaik Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila tewas 0-5 kepada Urawa Reds Diamond, 19 Ogos lalu.

Anak buah Hector Bidoglio bagaikan sudah melupakan kekalahan di Jepun dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap aksi Liga Super yang berbaki lapan perlawanan.

JDT masih utuh di kemuncak liga dengan mengutip 38 mata daripada 14 perlawanan, berkelebihan tiga mata berbanding pencabar terdekat, Sabah FC dengan kelebihan dua perlawanan.

Sudah pastinya skuad Harimau Selatan tidak mahu mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

Berdasarkan rekod pertemuan 10 perlawanan antara kedua-dua pasukan, JDT tampak tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh setelah pasukan lawan tidak pernah menang ke atas juara liga lapan kali itu.

Walau bagaimanapun, dalam dua perlawanan bulan lalu, skuad bimbingan Mohd. Asri Ninggal itu berjaya memaksa JDT berhempas pulas untuk berkongsi mata 1-1 bagi aksi liga dan tewas tipis 1-2 pada perlawanan suku akhir Piala FA.

Anak buah Mohd. Asri perlu mempamerkan magis sekiranya berhajat besar untuk membawa pulang tiga mata kerana pasukan JDT mempunyai rekod cemerlang di laman sendiri.

Pada musim ini, JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan hanya pasukan Sri Pahang FC berjaya membawa pulang satu mata dari Stadium Sultan Ibrahim.

Bidoglio pastinya akan membariskan pasukan terkuat bagi menghadapi Melaka United dengan gandingan penyerang, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri mengetuai jentera serangan.

“Pasukan ini telah menunjukkan kemajuan pada pertandingan ACL setiap tahun dan saya percaya ini akan berterusan sambil kami berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Kami akan pulang dan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi diri kami,” katanya selepas perlawanan di Jepun tempoh hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN