KL City pesta gol, benam PSM Makassar

KL City pesta gol, benam PSM Makassar

KL City mudah benam PSM Makassar untuk layak ke epringkat seterusnya Piala AFC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) tidak berdepan masalah membenam PSM Makassar 5-2 dalam aksi final Zon ASEAN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Pesta gol tuan rumah bermula dengan gol pendahuluan dijaringkan menerusi rembatan voli Romel Morales selepas berlaku kekalutan dalam kawasan kotak penalti PSM Makassar.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, tuan rumah menggandakan jaringan menerusi Jordan Mintah untuk melebarkan kedudukan menjadi 2-0 selepas menyudahkan hantaran kapten pasukan, Paolo Josue.

Bersambung aksi di babak kedua, Kuala Lumpur hanya memerlukan lima minit sahaja untuk menambah jaringan ketiga selepas Rizki Pratama menjatuhkan Zhafri Yahya dalam kawasan penalti dan peluang itu tidak disia-siakan oleh Paolo Josue.

Bagaimanapun PSM Makassar kembali menyusun strategi dan berjaya membuatkan barisan pemain Kuala Lumpur cemas apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit.

Yakob Sayuri berjaya menggelecek Declan Lambert sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Azri Ghani pada minit ke 57 untuk kedudukan menjadi 3-1.

Selepas itu, PSM Makassar memperoleh gol kedua mereka berpunca daripada sepakan penjuru yang berjaya disudahkan dengan tandukan Akbar Tanjung pada minit ke 62.

Namun anak buah Bojan Hodak tidak panik apabila kental bertahan dan hasil gerakan serangan balas, Paolo Josue berjaya melegakan kem tuan rumah apabila meledak jaringan kedua peribadi untuk kedudukan ini menjadi 4-2 pada minit ke 83.

Belum cukup dengan itu, Kuala Lumpur terus menghukum benteng pertahanan pelawat, kali ini menyaksikan penjaga gol, Reza Pratama mengasari Jordan Mintah untuk pengadil perlawanan, Yusuke Araki memberikan sepakan penalti kedua untuk Kuala Lumpur.

Tugas itu disempurnakan dengan baik oleh pemain gantian, Hadin Azman untuk melengkapkan malam gemilang skuad The City Boys.

Keputusan itu menyaksikan Kuala Lumpur layak ke pusingan seterusnya dan masih perlu menanti lawan di peringkat separuh akhir Inter Zon Piala AFC, memandangkan status kelab India, ATK Mohun Bagan masih belum dapat dipastikan kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menggantung India.

“Saya rasa penat, tetapi saya berbangga dengan rakan sepasukan saya, kami beraksi baik di separuh pertama, hilang fokus seketika di separuh masa kedua, tetapi kami berjaya bangkit untuk meledak dua lagi gol di lewat permainan,” jelas Josue selepas perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN