BEIJING: Kerajaan tempatan Sichuan di China mengarahkan semua kilang ditutup selama enam hari untuk mengurangkan penggunaan bekalan elektrik di rantau berkenaan.
Langkah itu dilaksanakan ketika gelombang panas terik melanda seluruh negara.
Berdasarkan notis dikeluarkan oleh kerajaan tempatan dan syarikat elektrik, sebanyak 19 daripada 21 bandar di wilayah itu diarahkan untuk menghentikan pengeluaran di semua kilang bermula Isnin hingga Sabtu.
Menurut notis berkenaan, keputusan itu dibuat bagi memastikan bekalan elektrik mencukupi untuk kegunaan kediaman.
Sichuan merupakan hab pembuatan bagi industri semikonduktor dan panel solar.
Justeru, pencatuan elektrik secara tidak langsung akan menjejaskan kilang milik beberapa syarikat elektronik terbesar dunia termasuk Apple (AAPL), pembekal Foxconn dan Intel (INTC).
Ketika ini, China berdepan gelombang panas terik dalam tempoh enam dekad, dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius di puluhan bandar.
Cuaca panas melampau itu menyebabkan permintaan tinggi bagi kegunaan penyaman udara di pejabat dan rumah sekali gus memberi tekanan kepada syarikat tenaga elektrik.
Musim kemarau juga menyebabkan paras air sungai menurun sekali gus mengurangkan jumlah tenaga elektrik dihasilkan di loji jana kuasa.
Sichuan yang juga hab jana kuasa hidro China turut dilanda cuaca panas melampau dan kemarau sejak Julai lalu.
Malah, sejak 7 Ogos lalu, gelombang haba di wilayah itu mencecah ke tahap melampau dalam tempoh enam dekad dan purata taburan hujan menurun sebanyak 51 peratus berbanding tahun lalu.
Memetik laporan Sichuan Daily, beberapa pegawai tinggi memberi amaran tenaga elektrik di wilayah itu berdepan `detik paling buruk’.
Minggu lalu, pihak berkuasa bandar Luzhou di Sichuan mengumumkan lampu jalan raya akan ditutup pada waktu malam untuk menjimatkan tenaga elektrik.
HARGA NAIK
Sichuan yang merupakan satu dari wilayah terbesar China dan mempunyai hampir 84 juta penduduk juga merupakan hab perlombongan litium, komponen utama bateri kereta elektrik.
Justeru, penganalisis berpandangan penutupan kilang itu bakal meningkatkan kos bahan mentah.
Dalam pada itu, penganalisis Daiwa Capital meramalkan penutupan kilang selama enam hari bakal memberi kesan terhadap bekalan polisilikon dan litium serta kenaikan harga.
PENGELUARAN TERJEJAS
Pengeluaran beberapa syarikat China juga dijangka terkesan dengan masalah bekalan elektrik termasuk Sichuan Haowu Electromechanical, pengeluar komponen kereta dan Sichuan Lutianhua yang menghasilkan baja dan bahan kimia.
Selain Sichuan, wilayah lain seperti Jiangsu, Anhui dan Zhejiang juga menggesa peniaga dan isi rumah untuk menjimatkan bekalan elektrik masing-masing ketika gelombang haba menjejaskan bekalan itu.
Di beberapa wilayah, pejabat diarahkan untuk meningkatkan suhu penyaman udara kepada 26 darjah Celsius ke atas atau menutup perkhidmatan lif bagi tiga tingkat pertama untuk menjimatkan bekalan elektrik.
TANAMAN ROSAK
Sementara itu, jurucakap Biro Statistik China, Fu Linghui berkata, harga sayur-sayuran meningkat sehingga 12.9 peratus tahun ke tahun akibat terkesan cuaca panas melampau yang berterusan di kebanyakan kawasan.
Katanya, suhu panas melampau juga menyebabkan kemarau di kawasan pertanian di selatan China, manakala di bahagian utara pula, hujan lebat dan banjir menyebabkan tanaman terjejas.