TAWAU: Pulau Sebatik diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda daerah ini.
Pengisytiharan bencana itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Joseph Pang, hari ini.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Tawau dengan ini mengisytiharkan bencana kemarau Daerah Tawau (Pulau Sebatik),” katanya.
Difahamkan, bekalan air di kawasan berkenaan terjejas berikutan penurunan paras air empangan.
Ketika ini, pengeluaran air dari empangan dikatakan merosot hingga 80 peratus sejak 22 Mac lalu.
Situasi itu menyebabkan bekalan air kepada penduduk dari loji rawatan air (LRA) di pulau itu terhad iaitu hanya 0.3 juta liter sehari (JLS) berbanding kapasiti sebenar 1.5 JLS
Antara kawasan terjejas Kampung Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tamang, Sungai Selipar, Sungai Laba, Sungai Lahi, Sungai Tongkang, Mentadak Baru serta kawasan sekitarnya.
Usaha penghantaran air ke kawasan terjejas sudah dijalankan sejak semalam menggunakan lori tangki melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik.
Pulau Sebatik adalah pulau yang dikongsi antara dua negara, dengan bahagian utara terletak di Malaysia manakala bahagian selatan di Indonesia. – UTUSAN










