Tiada harga siling ayam selepas 31 Ogos - Utusan Malaysia

Tiada harga siling ayam selepas 31 Ogos

AZMAN Mohd. Yusof (tengah) mengadakan lawatan ke sebuah kilang pembuatan mainan kanak-kanak di kawasan perindustrian Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di semenanjung berkemungkinan tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos depan, memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, ini kerana harga pasaran ayam bulat sekarang berada di bawah siling, malah terdapat penjual menawarkan harga serendah RM6.99 sekilogram.

Beliau berkata, majoriti pembekal juga tidak lagi berdepan isu seperti masalah tumbesaran ayam, ayam sakit dan sebagainya, lantas menyebabkan lebihan penawaran yang mempengaruhi harga semasa.

“Dulu kita ada isu, katanya bekalan tak cukup. Bila kata bekalan tak cukup maka menyebabkan tekanan pada harga, harga itu akan naik.

“Dalam hal yang demikian, kerajaan melihat dari segi bebanan rakyat itu maka kerajaan memperkenalkan siling, dari RM8.90 kepada RM9.40. 

“Bila kita perkenalkan RM9.40 telah berlaku kebenaran untuk import dan sebagainya dan akhirnya di pasaran banyak ayam. Ayam yang dahulu dikatakan kecil, sakit dan sebagainya hari ini kalau kita tengok seekor ayam lebih daripada dua kilogram,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat sebuah kilang permainan kanak-kanak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee sebelum ini bahawa kerajaan akan mengkaji semula penetapan harga siling ayam standard serta kebenaran mengeksport selepas 31 Ogos depan.

Minyak masak

Dalam pada itu, mengulas berkenaan situasi terkini harga minyak masak, Azman berkata, selaras dengan kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini, para pengguna dijangka menikmati penurunan harga tersebut bermula minggu hadapan.

Jelasnya, beliau tidak menolak harga minyak masak bakal kembali seperti sebelum ini iaitu di bawah RM30 bagi botol lima kilogram, berdasarkan situasi penurunan harga minyak kelapa sawit mentah (CPO) di pasaran.

“Sesetengah minyak masak sawit yang botol tak bersubsidi, telah pun ada peringkat-peringkat harga yang telah turun, sampai ke peringkat RM29.

“Mungkin ada jenama-jenama baharu (yang dikeluarkan pemain industri). Jadi dalam hal ini memudahkan rakyat untuk membuat pilihan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.