PETALING JAYA: Malaysia semakin hampir bergelar juara apabila mengesahkan tempat ke final Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF 2022 selepas membenam Vietnam 3-0 di Stadium Patriot Chandrabhaga, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia mara ke final buat kali keempat berturut-turut sejak edisi 2017 namun mereka hanya berjaya menjulang kejuaraan pada edisi 2018 yang ketika itu turut berlangsung di Indonesia.
Malaysia bakal membuat sekali lagi perhitungan dengan Laos, Jumaat ini dalam perlawanan akhir selepas pasukan itu menundukkan Thailand 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Skuad muda negara tewas 0-1 kepada Laos pada perlawanan terakhir kumpulan B Isnin lalu dan ia peluang untuk mereka membalas dendam.
Pada perlawanan di Bekasi, Malaysia berjaya mengimbangi kekuatan Vietnam pada babak pertama dengan menyerap serangan dan menutup ruang daripada lawan membolosi gawang negara.
Serangan Vietnam juga beberapa kali mudah dipatahkan Malaysia, malah lawan juga gagal memasuki kotak penalti skuad kendalian Hassan Sazali Waras sehingga memaksa mereka melakukan percubaan jarak jauh.
Biarpun terpaksa bertahan namun skuad muda negara berjaya mengejutkan Vietnam pada minit ke-25 menerusi rembatan lencong Adam Farhan Mohd Faizal untuk menewaskan Cao Van Binh.
Bersambung babak kedua, Vietnam yang memiliki penguasaan bola tidak memberi ancaman kepada Malaysia yang terus kental bertahan.
Namun gawang Malaysia cemas pada minit ke-54 apabila tandukan Nguyen Anh Tu terkena tiang disusuli satu lagi percubaan pada minit ke-57 daripada Vietnam tetapi masih gagal meruntuhkan tembok pertahanan negara.
Keghairahan Vietnam menyerang dihukum Haiqal Haqeemi Hairi yang mudah menampan hantaran Haqimi Azim Rosli untuk menewaskan Van Binh buat kali kedua pada minit ke-70.
Pemain gantian, Haykal Danish Mohd Haizon menambah derita Vietnam dengan gol ketiga Malaysia selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Vietnam yang tergelincir pada minit ke-87.
Aksi penentuan tempat ketiga akan berlangsung pada sebelah petang sementara final pada pukul 9 malam di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jumaat ini.