JDT tidak selesa dengan keputusan seri

JDT tidak selesa dengan keputusan seri

jdt
Pemain tengah JDT, Nazmi Faiz cuba melepasi pertahanan Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin.- UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Kami tidak selesa dengan keputusan seri tetapi itu hakikat terpaksa diterima,”ujar ringkas pengendali Johor Darul Ta’Zim (JDT), Benjamin Mora.

Dia sama sekali tidak menyangka Melaka United berjaya mengimbangi pasukannya walaupun menguasai pentas saingan dan melakukan banyak serangan sehingga ke minit terakhir perlawanan di Stadium Hang Jebat malam kelmarin.

Katanya, pasukan bimbingannya datang ke Melaka untuk mengutip tiga mata penuh tetapi hajat itu tidak kesampaian.

“Mereka (Melaka United) ada tiga pemain berkualiti sewaktu menyerang namun saya puji barisan pemain dapat melakukan tugas dengan baik walaupun sekadar mencatat keputusan seri.

“Jentera serangan mengasak di setiap sudut sejak wisel babak pertama hingga tamat perlawanan tetapi usaha untuk mencari gol kemenangan gagal.

“Saya tidak salahkan pemain kerana mereka telah jalankan tanggungjawab dengan baik dan bermain baik tapi malangnya kami gagal mencari tiga mata penuh,” ujarnya.

Begitupun, keputusan seri itu tidak menjejaskan reputasi JDT selaku pasukan pilihan untuk mengekal kejuaraan Liga Super musim ini kerana masih terus menerajui persada serta kekal rekod bersih tanpa kalah setakat ini.

Dalam pada itu, Mora menjelaskan penyerang dan penjaring terbanyaknya, Bergson Da Silva yang terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan itu mengalami kecederaan yang agak serius dan perlu menjalani imbasan MRI (ujian Pengimejan Resonans Magnetik).

“Saya harap Bergson dapat pulih daripada kecederaannya dan dapat diturunkan apabila JDT berkunjung ke Kota Kinabalu berdepan Sabah pada 15 Julai nanti,” ujarnya.

Sementara itu, pemangku jurulatih Melaka, Mohd. Asri Ninggal lega anak buahnya tidak menjadi mangsa belasahan dan kejayaan mencuri satu mata cukup bermakna.

“Saya puji barisan pemain yang diturunkan, mereka bermain dengan baik selain fokus dan berdisiplin sepanjang 90 minit babak berlangsung. Paling melegakan pemain gantian telah dapat bermain dengan cemerlang.

“JDT sebuah pasukan yang cukup ampuh mereka ada barisan import yang hebat begitu juga ramai pemain kebangsaan tetapi pemain saya mampu mengimbangi mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.