JOHOR BAHRU: Isteri dan ibu kepada dua orang anak yang disyaki memukul suaminya sehingga mati di Flat Nipah, Taman Daya, di sini didapati positif penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek membunuh suaminya dengan memukul bahagian kepala menggunakan objek tumpul.
“Suspek yang ditahan pada pukul 9.15 pagi di kawasan berhampiran itu juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dua kes dadah dan satu jenayah. Hasil siasatan awal, kita percaya suspek membunuh mangsa kerana berada di bawah pengaruh dadah.
“Sementara itu, polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Kong Hock Peng menerusi talian 019-7308888.
Terdahulu, Raub memaklumkan pihaknya menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada pukul 7.50 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, mangsa sudah ditemukan maut dan terbaring di dalam kediaman pasangan berkenaan, dengan anak sulung suspek merupakan saksi kepada kejadian yang berlaku.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang sumber memaklumkan mayat mangsa ditemukan dalam keadaan kakinya terikat dan kesan lebam di sebelah kanan mukanya. – UTUSAN