KUALA SELANGOR: Seramai 1,364 keldai akaun diberkas selepas terbabit dalam sindiket penipuan di Selangor sepanjang enam bulan pertama tahun ini, malah, majoritinya didapati menyedari tindakan tersebut menyalahi undang-undang.
Statistik polis menunjukkan kesemua suspek terdiri daripada 928 lelaki dan 436 wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sebanyak 60 peratus daripada suspek sudah didakwa di mahkamah atas kesalahan membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi aktiviti jenayah.
“Kesemua individu itu ditahan kerana dengan pengetahuan membenarkan akaun bank dan kata laluan mereka digunakan untuk jenayah penipuan wang terhadap orang lain.
“Mereka antaranya mungkin terpengaruh dengan imbuhan ditawarkan antara RM100 hingga RM600 untuk setiap kali sewaan akaun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Selangor di Taman Penggawa di sini, hari ini.
Jelas Arjunaidi, kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dan bersubahat.
Kata beliau, sindiket penipuan rata-ratanya menggunakan taktik mencari keldai akaun di media sosial.
“Sebahagian besar individu itu tidak mengenali penjenayah yang menjalankan kegiatan haram berkenaan. Keldai akaun kemudian memberi nombor akaun bank untuk disewa malah ada yang memberikan kad ATM kepada ah long,” ujarnya.
Justeru, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan akaun bank bagi sewaan akaun.
“Jangan sesekali berhubung dengan individu tidak dikenali yang menjanjikan tawaran manis untuk memperdayakan mangsa,” katanya. –UTUSAN ONLINE











