PETALING JAYA: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria beri bayangan Sukan SEA edisi ke-34 bakal diadakan di luar Kuala Lumpur namun masih belum ada ketetapan negeri yang akan ambil alih jadi tuan rumah untuk temasya dwi tahunan tersebut.
Sebagai rekod Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak enam kali, dan kesemua edisi berkenaan diadakan di Kuala Lumpur dengan kali terakhir merupakan pada tahun 2017.
“Negara kita mempunyai fasiliti dan kemudahan lengkap, namun samada kita bawa temasya ini untuk dianjurkan di luar Kuala Lumpur sekaligus bantu untuk meningkat pembangunan fasiliti di negeri lain, itu adalah persoalan membabitkan kerajaan negeri dan persekutuan.
“Sesetengah negeri mungkin akan mengatakan mereka mempunyai kemudahan yang asas dan boleh dinaik taraf untuk capai taraf Sukan SEA jika ada bantuan dari pihak kerajaan.
“Kita hanya punyai 5 tahun sahaja lagi dan segala keputusan perlu dibuat satu per satu, dan semua pihak perlu berikan komitmen yang tinggi, dengan pihak Kerajaan boleh berikan pandangan penganjuran yang bagaimana mereka mahukan untuk edisi kali ini,” jelas Norza.
Meskipun kebanyakan venue ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bertumpu di sekitar Lembah Klang, namun terdapat beberapa acara dijalankan di negeri lain, misalnya basikal trek di Velodrome Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, manakala pelayaran dijalankan di perairan laut Kuah, Pulau Langkawi sementara ekuestarian pula di Kuala Terengganu.
MOM dijangka akan membuat kunjungan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai penganjuran temasya ini dalam masa terdekat.
“Kebiasaannya kitaran penganjuran untuk Sukan SEA biasanya hadir setiap 20 tahun sekali, namun kali ini kita amat bertuah kerana ia datang selepas 10 tahun selepas 2017, dan kita ada 5 tahun untuk merancang maka sebab itu kita perlu berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan untuk mengetahui konsep kali ini, sama ada kita anjurkannya di Kuala Lumpur ataupun pindahkannya ke negeri-negeri yang mungkin sedia untuk jadi tuan rumah bersama, namun ia belum lagi diperincikan.
“Kita juga perlu lihat seandainya kita menjadi tuan rumah,adakah kita akan sediakan satu kontinjen yang dapat berikan prestasi yang baik pada ketika itu, sudah tentu perancangan itu perlu dibuat lebih awal lagi, kerana bila kita mohon untuk jadi tuan rumah dan mendapat undi sebulat suara dari negara lain, kita dikenali sebagai penganjur atau tuan rumah terbaik, namun adakah pencapaian atlet kita akan seiring dengan penganjuran kita nanti?,” ujarnya.