Ranking lebih tinggi bukan kelebihan buat Turkmenistan - Utusan Malaysia

Ranking lebih tinggi bukan kelebihan buat Turkmenistan

Ketua jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew ketika sidang media semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berada di kedudukan ranking lebih baik bukan satu kelebihan buat Turkmenistan menjelang aksi pertama Kumpulan E menentang Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ketua jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew percaya persiapan kurang rapi menjadi salah satu faktor pasukannya tidak bersedia seratus peratus dalam kempen kali ini meskipun dalam masa yang sama berharap untuk mencapai keputusan positif.

“Walaupun kedudukan ranking kami lebih baik, namun kami tetap jangkakan perlawanan yang sukar terutama apabila ini adalah perlawanan pertama yang mana kedua-dua pasukan terdesak untuk mengutip mata buat pasukan masing-masing.

“Secara jujur, saya akui beraksi tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam tempoh seminggu bukanlah sesuatu yang mudah khususnya apabila kami tidak dapat melakukan persiapan seperti yang diharapkan.

“Apa yang penting, saya barisan pemain dapat berikan yang terbaik dan tidak menghiraukan status pasukan lawan selaku tuan rumah yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Untuk rekod, skuad Turkmenistan ketika ini menduduki ranking ke-134 dunia manakala pasukan Harimau Malaya berada di tempat ke-154 dunia.

Mengulas mengenai prestasi pasukan Malaysia ketika ini, Hojageldyyew berkata, dia ada menyaksikan persembahan pasukan Malaysia di bawah jurulatih baharu, Kim Pan Gon dan merasakan jentera serangan mempunyai perubahan dan perlu diberikan perhatian.

Dalam pada itu, penjaga gol utama Turkmenistan, Mammet Orazmuhammedow percaya motivasi untuk mengulangi pencapaian beraksi di Piala Asia 2019 menjadi pencetus semangat para pemain untuk mara sekali lagi pada edisi 2023.

“Meskipun kita tidak melakukan persiapan seperti yang diharapkan, namun motivasi pasukan untuk meraih keputusan positif tidak pernah pudar dan sudah pasti kami mahu layak ke pentas Piala Asia 2023.

“Sudah pasti Malaysia yang beraksi di laman sendiri mempunyai kelebihan tetapi, kami akan memberikan tentangan yang sengit untuk mendapatkan keputusan yang positif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN