PETALING JAYA : Sebanyak 102 orang wanita warga asing ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di pusat-pusat hiburan di seluruh negara.
Menerusi operasi ‘Op Noda Khas’ yang dilancarkan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu secara serentak pada 12 Jun lalu, sebanyak 61 individu tempatan yang terdiri pemilik premis, pengurus dan penjaga kaunter turut ditahan.
Pengarah JSJ, Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya juga telah membuat pemeriksaan terhadap 1,133 indvidu terdiri pekerja dan pelanggan.
Kata beliau, pemeriksaan itu bagi mengesan lain-lain kesalahan jenayah serta penglinayan mereka dalam kumpulan kongsi gelap, gangsterism dan thug gang.
“Semakan melalui sistem atas talian rekod jenayah PDRM ke atas kesemua pelanggan mendapati, dua daripada mereka berada dalam senarai orang dikehendaki bagi kesalahan dadah.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan itu juga telah berjaya merampas 44 keping lesen perniagaan selain speaker (27 buah); mikrofon (22 buah) dan Amplifier (16 buah),” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, kata Abdul Jalil, sebanyak 85 botol miniman keras pelbagai jenama dan wang tunai RM12,885 dirampas.
Ujar beliau, kesemua tangkapan berusia antara 20 sehingga 51 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk siasatan lanjut.
“Semasa operasi dijalankan, didapati pusat hiburan jenis karaoke TV (KTV), bar, pun dan bistro telah menyediakan bilik bersaiz kecil, sederhana dan besar.
“Kesemua bilik berkenaan dikenakan bayaran bermula RM8,000 dan mencecah RM30,000 mengikut pakej yang ditawarkan,” jelasnya.
Tambah beliau, premis tersebut turut menawarkan perkhidmatan GRO warga asing atas permintaan pelanggan dengan kadar bayaran yang ditetapkan.
“Bagi mengaburi pihak berkuasa, selepas tamat waktu operasi yang dibenarkan pelanggan akan menggunakan laluan rahsia iaitu di bahagian belakang premis untuk pergerakan keluar dan masuk yang dikhaskan bagi pelanggan tetap sahaja,” jelasnya.
Justeru itu, PDRM ingin menasihati semua pengusaha pusat hiburan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undanv serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Peralihan Endemik Covid-19 yang ditetapkan.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan di luar waktu yang dibenarkan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang selain mengelakkan penularan dan memutuskan rantaian Covid-19 demi memastikan keamanan serta ketenteraman dalam negara sentiasa terpelihara,” katanya. –UTUSAN ONLINE










