Kenaikan diesel, pengusaha bas persiaran mula tertekan

Kenaikan diesel, pengusaha bas persiaran mula tertekan

WAKIL pengusaha bas dari seluruh negara berhimpun secara aman di Alor Setar Kedah hari ini menuntut kerajaan menyelesaikan isu berbangkit ekoran kenaikan harga diesel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kenaikan mendadak harga diesel ketika ini mengakibatkan pengusaha bas persiaran terutama yang terlibat dalam sektor pelancongan semakin tertekan apabila kos operasi kini meningkat sehingga 100 peratus.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, sebanyak 100 syarikat di bawah naungannya melahirkan kebimbangan terhadap impak jangka panjang kenaikan tersebut yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar.

Katanya, peningkatan harga diesel ini menjadikan sebut harga sebelum ini tidak relevan lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar kos operasi sudah meningkat sehingga dua kali ganda, jadi boleh dikatakan keuntungan itu sudah tiada. Kalau perkara ini berlarutan bagaimana untuk kami teruskan perniagaan? Kita sudah memberikan sebut harga pada harga lama iaitu sebelum kenaikan ini.

“Selepas kenaikan, kami cuba berbincang dengan pelanggan namun agak sukar sehingga ada yang membuat keputusan untuk membatalkan tempahan. Setakat ini khabarnya sudah 50 peratus tempahan dibatalkan,” katanya ketika ditemui selepas satu perhimpunan aman di Stargate, dekat sini hari ini.

Seramai 31 pengusaha bas persiaran berhimpun secara aman bagi menzahirkan kebimbangan mereka terhadap perkembangan tersebut.

Ahmad Ruslan menambah, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri agar perkara tersebut ditangani dengan segera.

“Kami turut menyokong apabila menteri terlibat akan bertemu dengan PMX bagi mencari jalan menyelesaikan isu ini. Kami ingin mencadangkan insentif seperti bantuan awal dan subsidi bersasar yang diharap meringankan beban pengusaha,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bas Bumiputera Malaysia, Zainal Abidin Mihat berkata, pengusaha kini berdepan tekanan berganda apabila tidak menerima sebarang subsidi.

“Kami tidak diberi subsidi dan kami membeli pada harga apongan. Kami menanggung kos operasi tinggi sudah lama namun masih bertahan tetapi kenaikan kali ini sangat tinggi. Jika perkara ini tidak ditangani kita saya tidak sampai tempoh sebulan banyak syarikat tidak mampu berjalan lagi.

“Kita beli diesel secara tunai, jika sebelum ini satu bas mungkin RM700 sekarang sudah jadi RM1,400 dan akan datang mungkin RM2,000 sedangkan tambang baru RM1,500 satu perjalanan. Macam mana hendak bergerak. Sebab ini Tahun Melawat Malaysia 2026 dan ada pula impak begini jadi ia perkara yang serius,” katanya.

Tambah beliau, kesan kenaikan itu bukan sahaja dirasai oleh pengusaha, malah turut memberi impak kepada industri pelancongan negara.

“Impaknya kepada industri pelancongan negara ini juga kerana kita antara penyumbang tertinggi. Jika tidak dapat subsidi jadi kita gagal untuk jalankan bisnes ini dan aktiviti pelancongan pun jumud,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Bumiputera Malaysia, Mahadi Izady Maharazi berkata, bantuan segera diperlukan bagi memastikan kelangsungan sektor tersebut.

“Kita perlukan bantuan ini demi kelangsungan sektor pelancongan juga. Banyak trip yang sudah batal dan dengan kenaikan yang tidak konsisten ini kami sendiri sukar untuk menetapkan satu sebut harga.

“Tahun ini juga Tahun Melawat Malaysia dan pada 2020 juga jadi hal yang sama sebab Covid19 jadi macam mana bisnes hendak bertahan,” katanya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 5,000 pengusaha bas seluruh negara dijangka terjejas dengan kenaikan diesel itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini