PETALING JAYA: Segala kemahuan serta kehendak Kim Pan Gon bagi memastikan prestasi Harimau Malaya mampu ditingkatkan dan mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan gergasi di pentas Piala Asia, tahun depan.
Itu jaminan diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas melihat transformasi diserapkan pengendali kelahiran Korea Selatan itu dalam skuad Harimau Malaya.

Tambah Hamidin, baki masa yang tinggal ini bakal digunakan sebaiknya bersama barisan kejurulatihan bagi mencari formula terbaik untuk mengasah lagi taring Harimau Malaya sebelum kejohanan tersebut.
“Kita perlu bersiap daripada sekarang dan untuk persiapan, kita perlukan belanja kerana caranya berlainan. Caranya akan datang daripada Kim Pan-gon dan kita tidak boleh lambat kerana saya nak buat kejutan disana (Piala Asia).
“Kita sudah ada persiapan yang komprehensif untuk pasukan Harimau Malaya sebelum bertanding di Piala Asia 2023. Pan Gon sudah menyediakan pelan tersebut.
“Sebab apabila Harimau Malaya masuk ke pusingan akhir Piala Asia, kita tidak mahu lagi pasukan ini dibuli oleh pasukan-pasukan lain. Kita kena berjuang.
“Mungkin agak sukar ketika ini, untuk melawan pasukan seperti Korea, Jepun dan Australia sebab mereka sudah berada di taraf lain.
“Mungkin pasukan selain daripada itu kita boleh beri saingan kepada mereka,” katanya pada media selepas aksi Malaysia menentang Bangladesh, semalam.
Hamidin berkata, kelab tempatan juga wajar memainkan peranan penting untuk terus melahirkan pemain berkualiti.
“Terima kasih kepada semua kelab yang dapat lahirkan pemain. Di sini kita dapat lihat sumbangan Johor Darul Ta’zim(JDT) yang jadi penyumbang terbesar kepada senarai pemain.
“Sebagai presiden, sepanjang masa saya tidak berpuas hati kerana KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya tinggi, kita kena bangkit dan jadikan perkara di belakang (yang lepas) sebagai tauladan.
“Saya jenis orang yang bila orang minta, orang itu perlu tunjuk kerja dia. Persahabatan juga kena lawan pasukan lagi besar dan kalau perlu cari duit, kita pun kena cari duit,” katanya.
Katanya, kesemua pihak diingatkan supaya membantu pasukan agar lebih konsisten dan bukannya terlalu dibuai mimpi indah layak ke pusingan akhir Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.
“(Kejayaan ini hadir) dalam padang 50 peratus dan selebihnya adalah dari luar padang. Kalau tanya pemain apa yang Pan-gon buat, pendekatannya adalah cepat, tepat dan mudah malah saya sendiri dapat lihat persiapan luar padang cukup mantap.
“Kita perlu konsisten. Kalau perancangan tidak betul, mungkin kita akan jatuh balik,” katanya.