Lelaki tular hisap dadah di Facebook ditangkap

Lelaki tular hisap dadah di Facebook ditangkap

AKSI seorang lelaki menghisap dadah yang video rakamannya tular dalam media sosial Facebook, baru-baru ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang tular kerana aksinya menghisap dadah dalam satu rakaman video dimuat naik di laman sosial Facebook,  diberkas polis semalam untuk siasatan lanjut.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sebuah rumah di Chenderong Balai di sini, pada pukul 5 petang. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam tangkapan tersebut, pihaknya merampas empat plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 27.75 gram bernilai RM832.50.

Katanya, berdasarkan semakan, suspek yang juga positif dadah jenis morpin itu mempunyai 16 rekod jenayah bersabit kes dadah.

“Tangkapan ke atas suspek ekoran video pendek aktiviti menghisap dadah oleh seorang lelaki yang tular dalam laman sosial Facebook. 

“Suspek mengaku individu dalam video itu dan memberitahu dia mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Apoi’ di kawasan Pekan Langkap.  Usaha mengesan pengedar berkenaan sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook memaparkan sorang lelaki dipercayai sedang menghisap dadah yang dirakam seorang individu. 

Hantaran yang dimuat naik bersama video itu mendakwa lelaki berkenaan adalah tokan dadah di Chenderong Balai dan menjual dadah kepada budak bawah umur serta meminta orang ramai melaporkan perkara itu kepada pihak polis. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya