Kl City sedia ‘rantai’ Pluian dan Nascimento - Utusan Malaysia

Kl City sedia ‘rantai’ Pluian dan Nascimento

BOJAN Hodak dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Piala AFC hari ini. - IHSAN KL CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak yakin pasukan kendaliannya telah bersedia untuk bertemu dengan PSM Makassar bagi perlawanan pertama Piala AFC Zon ASEAN, malam ini.

Katanya, peluang beraksi dalam Piala AFC akan turut memberi kelebihan kepada para pemain menimba pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kami sudah kerap bermain dalam Liga Malaysia, bagi saya, kami lebih bersedia. Makassar pun sudah bermain tiga perlawanan dalam liga mereka jadi mereka juga sama seperti kita.

“Peluang bermain dalam Piala AFC juga akan menjadi medan terbaik buat para pemain kesebelasan utama saya yang belum pernah beraksi dalam kejohanan ini,” katanya dalam sidang media Piala AFC, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Hodak bagaimanapun menegaskan bahawa para pemainnya perlu berhati-hati dengan dua pemain baharu PSM Makassar, iaitu Wiljan Pluian dan Everton Nascimento yang dilihat akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada The City Boys.

“Walaupun PSM Makassar pasukan yang mempunyai ramai pemain baharu termasuk pengurusan dan jurulatih tetapi kami perlu berhati-hati dengan dua pemain baharu mereka yang sangat berbahaya di atas padang.

“Apa-apa pun, saya harap para pemain saya beri tumpuan sepenuhnya dengan perlawanan ini dan melupakan semua perlawanan lalu dalam Liga M kerana aksi ini sememangnya berbeza dengan yang pernah kami hadapi,” katanya.

Tonggak utama KL City, Mohd Safee Mohd Sali menyifatkan pasukan bola sepak Indonesia sebagai lawan yang sukar ditewaskan berdasarkan pengalamannya yang pernah bermain dalam Liga Perdana Indonesia bagi kelab bola sepak Pelita Jaya Jawa Barat pada 2011/2012.

“Kebanyakan pemain Indonesia sangat rajin, fizikal mereka juga cergas, mereka selalu berada dalam keadaan terbaik, pemain import mereka juga begitu. Bagi saya, bukan senang untuk berlawan dengan mereka,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN