KOTA BHARU: Kelantan FC dalam proses mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik akaun laman sosial meninggalkan komen berbaur fitnah mengaitkan pemain pasukan pasukan itu terlibat dengan tuduhan merogol seorang perempuan berusia 18 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Ketua Bahagian Perundangan Kelantan FC, Shairuz Sheffie berkata, beberapa pemilik akaun yang terlibat dalam penyebaran perkara itu telah dikenal pasti dan hanya menunggu masa untuk berdepan tindakan undang-undang.
Menurutnya, Kelantan FC segala tomahan yang telah dilemparkan oleh sesetengah pengguna media sosial kerana ia dilihat boleh menjejaskan nama baik pasukan.

“Jumlah akaun terlibat melemparkan komen-komen fitnah ini telah dikenal pasti oleh pihak kami. Tindakan ini bertujuan menjaga nama baik pasukan.
“Selain itu, kami mahu memberikan pengajaran kepada pengguna laman sosial supaya menjaga etika sebelum meninggalkan sebarang komen negatif,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu Pengurus Operasi TRW Kelantan FC Qusmaini Noor dalam satu kenyataan menegaskan salah laku itu tidak melibatkan barisan pemain Kelantan.
Kata Qusmaini, pihak pengurusan tertinggi Kelantan FC telah melakukan siasatan dalaman tentang perkara ini dan mengesahkan tiada pemain yang terpalit dengan isu berkenaan.
“Kami di TRW Kelantan FC akan sentiasa menjaga batas pergaulan dan menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.
Media pada sebelum ini melaporkan, seorang pemain bola sepak liga tanah air dicekup selepas disyaki merogol seorang gadis yang juga merupakan rakannya di sebuah rumah di daerah ini pada Khamis lalu.
Lelaki yang berusia 28 tahun itu ditahan semasa dia berada di rumahnya selepas polis menerima laporan daripada mangsa.