Isu pengurusan inflasi fokus Belanjawan 2023

Isu pengurusan inflasi fokus Belanjawan 2023

pilihan raya
ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan isu inflasi dan pemulihan ekonomi negara adalah antara strategi kerajaan dalam penyediaan Belanjawan 2023, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, selain itu kerajaan memfokuskan kepada menyokong permintaan dalam negara dan memulihkan pelaburan swasta bagi mendepani cabaran luar yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Katanya, sikap terbuka menerima pembaharuan dalam semua aspek adalah penting untuk mengukuhkan daya saing Malaysia terhadap sebarang kejutan masa depan.

Justeru, menurut beliau, semua pihak perlu meletakkan tanah air agar kekal relevan dan berdaya saing sejajar usaha menjadi sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Saya menyeru sektor swasta dan komuniti perniagaan untuk bekerjasama dengan sektor awam dalam mengurus dan mengatasi pelbagai cabaran ini. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan komuniti perniagaan untuk menghasilkan idea membina dan cara penyelesaian yang boleh dilaksanakan supaya perkembangan ekonomi dan perniagaan yang mampan.

“Kerajaan terus komited untuk meningkatkan iklim pelaburan yang mesra perniagaan dan kondusif. Dasar ekonomi, perniagaan, pelaburan dan kewangan yang lebih baik akan memberi dorongan kepada sektor swasta untuk meningkatkan daya saing, meningkatkan pelaburan domestik dan meningkatkan kapasiti produktiviti,” katanya dalam teks ucapan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-76 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sebuah hotel di Melaka hari ini.

MUSTAPA MOHAMED

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan melalui pelbagai kementerian dan Bank Negara sentiasa memantau dengan teliti keadaan ekonomi, perniagaan dan pasaran kewangan dalam negara bagi memastikan haluan pemulihan ekonomi tidak akan terjejas akibat ketidaktentuan luaran dan cabaran domestik.

Katanya, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) sentiasa berinteraksi dengan pemain industri dan penganalisis pasaran bagi mengikuti perkembangan terkini yang akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada keadaan ekonomi domestik.

Katanya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan beliau berperanan mendapatkan gambaran jelas mengenai isu kenaikan harga dan keadaan pasaran daripada kementerian berkaitan di samping salah satu platform kerajaan dalam memantau keseluruhan bekalan dan permintaan barang makanan utama.

“Kerajaan telah mengumumkan langkah dan inisiatif untuk menangani isu kekurangan bekalan makanan terutama bekalan ayam dan mekanisma penstabilan harga. Antara inisiatif kerajaan ialah penghapusan Permit Import, pengagihan imbangan stok ayam dari satu negeri ke negeri lain untuk memastikan bekalan kepada rakyat tidak terjejas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau telah meminta proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan supaya tidak menjejaskan pemulihan ekonomi yang boleh menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit kepada industri dan kerajaan.

Katanya, beberapa sektor utama mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja dan isu kekurangan tenaga kerja asing sedang ditangani oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang telah meluluskan kira-kira 266,000 pekerja asing. 

Perdana Menteri menambah, sebagai rancangan masa panjang, kerajaan akan bekerjasama dengan komuniti perniagaan untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada pekerja asing melalui penggunaan teknologi dan automasi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja peringkat domestik.

“Saya menggesa semua industri, termasuk perusahaan kecil dan sederhana untuk mengambil peluang pelbagai kemudahan kewangan dan dana serta geran yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya