PETALING JAYA: Harimau Malaya yang dulu bukan lagi sama dengan Harimau Malaya sekarang, mungkin itulah yang terpaksa diakui Hong Kong selepas mereka tewas 0-2 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Jika sebelum ini pada 2017 mereka tidak berdepan masalah menjinakkan skuad kebangsaan dengan keputusan sama pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 namun skrip sama tidak berulang dibawah kendalian Kim Pan Gon.
Ketua Jurulatih Hong Kong, John Andersen mengakui skuad negara yang dibimbing Pan-gon kini telah banyak berubah.
Jelasnya, skuad Harimau Malaysia yang dihadapinya bukan pasukan yang disangkakan boleh dijinakkan ketika dia mengendalikan pasukan Korea Utara.
“Pertama sekali saya terkejut dengan aksi Malaysia malam ini, sebelum ini ketika saya mengendalikan skuad Korea Utara, pernah menewaskan Harimau Malaya dengan mudah 4-1 dalam dua pertemuan antarabangsa.
“Tetapi hari ini, saya tewas kepada mereka. Ini bukan pasukan yang saya sangkakan mudah boleh dijinakan seperti dahulu,mereka sudah banyak berubah khususnya beraksi dengan mempamerkan permainan bertahap tinggi dan penuh berintensiti serta secara taktikal juga menunjukkan banyak peningkatan.
“Sejak awal sehingga akhir perlawanan itu mereka menyerang habis-habisan dan tidak membuka ruang untuk kami memegang bola lama,” katanya.
Untuk rekod kali terakhir Malaysia berjaya menewaskan Hong Kong yang ketika ini berada di rangking 147 adalah pada perlawanan persahabatan 2012 dengan kemenangan 3-0.










