PETALING JAYA: Inisiatif-inisiatif membantu rakyat seperti menerusi kempen ‘bendera putih’, bank makanan dan gerobok rezeki yang banyak digerakkan semasa
tempoh pendemik Covid-19 tidak seharusnya diadakan secara musim walaupun keadaan ekonomi negara semakin pulih.
Pada masa masa, sudah tiba masanya rakyat berusaha dan melakukan inisiatif sendiri supaya tidak menajdi terlalu ‘manja’ dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripada pihak lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, inisiatif-inisiatif tersebut dilihat semakin dilupakan selepas fasa peralihan endemik, umpamanya almari rezeki yang dahulunya banyak didapati di stesen minyak, masjid dan surau sudah berkurangan atau tidak kelihatan.
Katanya, bantuan sepatutnya disalurkan secara berterusan dan bukan bermusim walaupun keadaan ekonomi semakin pulih.
“Rakyat Malaysia sangat terkenal dengan sikap rajin membantu dan suka menolong golongan yang menghadapi kesusahan tidak kira agama dan bangsa.
“Namun, sekarang rakyat sudah boleh keluar mencari pekerjaan, malah banyak pekerjaan tersedia untuk direbut. Kerana itu, mungkin ada pihak yang beranggapan golongan terjejas tidak perlu lagi terlalu mengharap bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak yang membantu berkemungkinan turut mengalami kesukaran untuk terus menyalurkan bantuan disebabkan keadaan ekonomi semasa negara.
“Kalau kita lihat keadaan sekarang, contohnya isu harga barang naik, bekalan makanan susah nak dapat dan sebagainya, sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan risau dan panik dalam diri mereka.
“Mungkin bagi mereka juga, sudah tiba masanya rakyat berusaha dan melakukan inisiatif sendiri supaya tidak dibiasakan dimanjakan lagi,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, sumbangan dan bantuan kepada golongan miskin serta kurang berkemampuan di negara ini tidak hanya dijadikan acara bermusim.
“Pemberian sumbangan atau bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat perlu dijadikan usaha berterusan oleh semua pihak sama ada kerajaan mahu pun NGO.
“Selain itu, NGO yang berdaftar ini pula sewajarnya diberikan sejumlah dana atau barangan yang diperlukan untuk menjalankan usaha murni sedemikian, mempercepat dan memudahkan proses permohonan ini,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat perlu sedar bahawa segala musibah, kesusahan dan kesulitan yang menimpa seseorang itu datang tidak mengira masa dan waktu.
“Justeru, penting bagi semua pihak untuk lebih peka dan membantu golongan ini secara berterusan supaya kesulitan yang dihadapi mereka ditangani segera dan bukannya secara bermusim,” ujarnya. – UTUSAN










