Balqish 'bunga cilik' penyeri Mini GP Malaysia 2022 - Utusan Malaysia

Balqish ‘bunga cilik’ penyeri Mini GP Malaysia 2022

Ahmad Faizal Azumu (tengah) sedang bertanyakan sesuatu dengan Fatihah Balqish Mohd Fauzi pada Majlis Pelancaran Mini GP Malaysia musim ketiga di Putrajaya, semalam. - Gambar ihsan SIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelumba cilik, Fatihah Balqish Mohd Fauzi menjadi tarikan pada Mini Grand Prix (GP) Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai hujung minggu ini di Sepang apabila muncul selaku peserta tunggal perempuan beraksi dalam perlumbaan tersebut.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, kehadiran pelumba berusia 11 tahun itu bukan sahaja diyakini mampu menjadi penyeri, malah, memberikan saingan sengit kepada pelumba lelaki yang bersaing dalam kejuaraan tersebut.

“Balqish seorang pelumba berbakat besar, dia mampu bersaing dengan peserta lelaki.

“Semasa dalam sesi pemilihan, dia antara 33 pelumba yang menyerlah kerana memiliki kelajuan yang baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Mini GP Malaysia musim ketiga di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Mengulas lanjut mengenai perlumbaan bagi musim 2022 itu, menurut Zulfahmi, perbezaan saingan pada tahun ini ialah kejuaraan akan turut diadakan di luar SIC.

Jelasnya, jika sebelum ini, kejuaraan hanya berlangsung di Litar Go-kart SIC, tetapi bagi aksi musim 2022, saingan akan dianjurkan di Litar Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Litar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Litar Tangkak, Johor.

“Tahun ini, satu cabaran baharu buat pelumba kerana mereka perlu bersaing di luar Sepang yang mana keadaan reka bentuk litar dan selekoh yang berbeza.

“Saya sendiri susah hendak mengagak bagaimana bentuk persaingan tahun ini, jadi bagi saya cabaran akan lebih dirasai untuk perlumbaan musim ini,” ujarnya.

Bekas pelumba Moto2 negara itu berkata, selepas kejayaan melahirkan, Hakim Danish Ramlee yang merupakan juara bagi musim 2020, Mini GP Malaysia kini memiliki pelumba berbakat besar, Qabil Irfan yang berusia 10 tahun.

“Saya berharap Qabil dapat mengikut jejak langkah Hakim Danish yang kini berjaya mengorak langkah ke peringkat antarabangsa apabila bersaing dalam Kejohanan Motosikal Asia Talent Cup dan European Talent Cup,” tambahnya.

Untuk rekod, dua pelumba yang mengumpul mata tertinggi pada Mini GP Malaysia akan menempah slot ke FIM Mini GP World Series di Valencia, Sepanyol pada 1-3 November ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.