Isu padang bila nak selesai? - Utusan Malaysia

Isu padang bila nak selesai?

Keadaan padang yang teruk menyukarkan Malaysia dan Bahrain beraksi di tahap sebenar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bercakap tentang isu padang di Stadium Nasional Bukit Jalil sebenarnya perkara berkenaan telah berulang kali diperdebatkan tetapi kesudahannya tiada jalan penyelesaian.

Sebelum sepak mula saingan Kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E, telah timbul isu tentang padang yang disifatkan tidak berkualiti dan tidak sesuai sehingga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia membantu.

Malah, bagi menjaga nama baik negara di mata dunia, Tunku Ismail mengambil langkah drastik pada Mac lalu apabila tampil menaja penukaran rumput di gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu dengan kos dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta.

Begitupun, proses penukaran dari rumput Cow Grass kepada rumput lebih berkualiti jenis Zeon Zoysia hanya akan dijalankan pada awal tahun depan susulan jadual tempahan penggunaan stadium yang sudah penuh sehingga hujung tahun ini.

Perlawanan kelmarin melibatkan skuad Harimau Malaya berdepan Bahrain yang menyaksikan padang bola bertukar kepada bendang kembali menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak negara, selepas lebih 70,000 penyokong hadir ke stadium untuk memberikan sokongan biarpun terpaksa bermandi hujan.

Menerusi hantaran di Facebook Utusan Online bagi aksi Malaysia menentang Bahrain malam kelmarin, kebanyakan komen memberi persepsi negatif.

Nai Muling berkata, ‘Prestasi bolasepak negara setaraf dengan keadaan padang’ sementara Awit Aziz ‘Dah bertahun alasan demi alasan ..mesyuarat berpuluh kali, hasilnya tetap sama…semua kerja setengah tiang. Tak peduli akan keputusan yang penting bulan-bulan gaji & elaun masuk’.

Antara komen lain termasuk berkata: “malukan imej Malaysia….dulu TMJ dah cakap masalah padang kat Bukit Jalil ini masalah dia adalah tak ada sistem yang canggih untuk discharger air dari atas padang….macam yang Johor buat sekarang canggih dan terkini”.

Dalam pada itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang dilihat gagal menguruskan keadaan padang dengan baik termasuk menyediakan kemudahan secukupnya bagi menangani keadaan cuaca hujan lebat menyaksikan mereka menjadi sasaran untuk dipersalahkan.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi tampil menjelaskan situasi berkenaan yang melihat penggunaan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air sepatutnya tidak digunakan penganjur kerana akan merosakkan padang berkenaan.

“Seperti sedia maklum, padang SNBJ mempunyai sistem pengaliran air yang tersendiri iaitu air akan keluar mengikut saluran yang sudah dibuat di bawah padang apabila hujan lebat.

“Kami sudah nasihatkan kepada penganjur untuk tangguhkan perlawanan pada jam 9.30 untuk beri masa air di atas padang mengalir keluar namun mereka tetap meneruskan perlawanan malah menggunakan pula penyodok dan kadbod untuk membuang air, ia telah merosakan padang,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN