IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan program mengajak umat Islam berwakaf secara tunai sepanjang tahun iaitu WaQaf 365 di sini hari ini.
WaQaf 365 merupakan program di bawah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak Sdn. Bhd. (PSB), iaitu syarikat penuh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Program itu mengajak umat Islam untuk berwakaf secara tunai sepanjang tahun dengan teknologi dalam talian melalui sistem Infaq-Pay yang mudah, berterusan dan sistematik selain daripada potongan gaji bulanan.
Dalam ucapannya, Pengerusi PSB, Datuk Dr. Mohamad Hashim Ahmad Tajudin berkata, WaQaf 365 memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berwakaf berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.
Menurutnya, melalui saluran perwakafan Infaq-pay dan disusuli dengan konsep mendekati pewakaf untuk berwakaf secara ‘direct debit’ setiap bulan atau secara one-off, PSB mensasarkan 10,000 pewakaf atau jumlah kutipan RM3.6 juta setahun.
“Pemilihan ‘365’ adalah simbolik sebagai mesej kepada semua umat Islam bahawa amalan berwakaf ini boleh dilaksanakan setiap hari dan sepanjang tahun.
“Melalui cara ini, semua lapisan masyarakat boleh berwakaf berdasarkan kemampuan masing-masing dan tidak terhad kepada harta yang tinggi nilainya seperti rumah, tanah dan sebagainya,” katanya.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif PSB, Abd. Rahman Abdullah Thani.
Mohamad Hashim berkata, pihaknya mengajak seluruh masyarakat khususnya agensi kerajaan dan swasta, pemain industri kewangan Islam, syarikat amanah dan pengurusan pusaka, agamawan tampil ke hadapan untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan menjayakan program WaQaf 365.
“Seluruh masyarakat diajak tampil menghulurkan sumbangan melalui program ini baik dari material, perkhidmatan, pemikiran dan tenaga masa agar wakaf dapat berperanan efektif untuk membangunkan taraf sosio ekonomi ummah,” katanya.
Menurutnya, PSB juga akan melancarkan program Amanah Lil Wakaf bersama rakan strategik iaitu syarikat takaful dan syarikat amanah dan pengurusan pusaka untuk mempelbagaikan saluran untuk berwakaf melalui tunai dan bukan tunai.
Kata beliau, program ini adalah berorientasikan amalan berwakaf satu pertiga daripada harta selepas meninggal dunia melalui instrumen takaful dan pengurusan pusaka.
“Program Amanah Lil Wakaf diperakui mematuhi hukum syarak dan boleh dilaksanakan serta sudah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 13 dan 14 Februari lalu,” katanya. – UTUSAN










