Renang pecah rekod kebangsaan, kecewakan Schooling - Utusan Malaysia

Renang pecah rekod kebangsaan, kecewakan Schooling

Welson Sim (dua daripada kiri) bersama kuartet renang negara yang mencipta rekod baharu kebangsaan dan meraih perak di Sukan SEA Vietnam 2021, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Kuartet renang negara mencipta sensasi di kolam renang Pusat Akuatik My Dinh di sini, selepas mencipta rekod kebangsaan namun ia belum cukup untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.

Welson Sim bersama Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh dan Khiew Hoe Yean menamatkan acara 4×200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki di tempat kedua dengan rekod kebangsaan baharu, tujuh minit dan 19.750 saat (s) pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021.

Rekod kebangsaan sebelum ini adalah 7:26.74s yang direkodkan oleh Welson, Lim Ching Hwang, Kevin Yeap dan Vernon Lee pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.

Emas dalam acara berkenaan menjadi milik kuartet perenang tuan rumah Nguyen Huu Kim Son, Nguyen Huy Hoang, Hoang Quy Phuoc dan Tran Hung Nguyen yang melakukan rekod baharu dengan catatan 7:16.31s untuk memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Singapura (7:17.88s)

Dalam pada itu, penyandang emas dari Singapura, Jonathan Tan, Glen Lim, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 7:21.49s.

Welson Sim melakukan renangan cukup bergaya bagi memastikan Malaysia menang perak di Sukan SEA Vietnam dalam acara 4x200m berganti-ganti, di sini hari ini.

“Ini (Sukan SEA Hanoi) adalah kali pertama kami membentuk pasukan dan saya rasa kami ada keserasian yang baik.

“Kami sedar mempunyai peluang memecahkan rekod kebangsaan jika semuanya berjalan lancar dan saya rasa kami sudah melakukan yang terbaik.

“Semuanya bergantung kepada kekuatan mental. Apa sahaja boleh berlaku dalam pertandingan di tahap tertinggi seperti ini dan mungkin anda bergelut pada pertengahan perlumbaan (kerana tekanan).

“Satu perasaan yang bagus apabila menewaskan seteru anda dalam renang. Kami tidak dapat memberi saingan kepada Singapura dalam beberapa edisi sebelum ini tetapi kali ini, kami setara dengan mereka dan juga Vietnam,” ujarnya.

Dalam satu lagi acara yang berlangsung, Job Tan mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa dalam acara 200m kuak dada lelaki menerusi catatan 2:17.68s.

Atlet dari Singapura, Maximillian Ang merangkul emas dengan catatan 2:11.93s manakala perak menjadi milik perenang dari Vietnam, Bao Pham Thanh.

Welson dan Hoe Yean akan berentap dalam acara 200m gaya bebas lelaki esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN