Pembantu kedai makan mengaku salah buang patung hiasan

Pembantu kedai makan mengaku salah buang patung hiasan

GABRIELE Jungkak Anak Steward didenda RM2,500 kerana membuang patung hiasan milik orang lain ketika didakwa di Mahkamah Majistret Kulai, Johor, hari ini. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang pembantu kedai makan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat dengan membuang patung hiasan milik individu lain dalam kejadian di Taman Scientex Senai, di sini pada 15 Mei lalu.

Tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 23 tahun itu mengambil patung hiasan bernilai RM25 yang bersambung dengan air pancutan sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Ekoran perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuannya, Gabriele Jungkak berkata dia membuang patung berkenaan kerana ia telah mengganggu ketika dia sedang melalui kawasan berkenaan.

Tertuduh turut mengaku pernah membuang dan membakar patung-patung hiasan lain di lokasi dan pada waktu berlainan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Sharifah Maleeha  menasihati tertuduh supaya belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong. manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 19 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, polis mencari suspek yang membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah setelah kejadian itu tular dalam rakaman video berdurasi 42 saat di Facebook.

Polis turut menerima satu laporan daripada seorang lelaki berkenaan rakaman kejadian itu pada pukul 4.30 petang, hari sama yang kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 9 pagi di hadapan rumah pengadu.

Pengadu mengesahkan patung sembahyang Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumah untuk tujuan hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.