Insiden Tak Bai: Malaysia sentiasa ketat kawalan pintu sempadan 

Insiden Tak Bai: Malaysia sentiasa ketat kawalan pintu sempadan 

HAMZAH Zainudin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sudah lama mengetatkan kemasukan pengembara di mana-mana pintu masuk negara termasuk di sempadan Malaysia-Thailand, malah ia bukan perkara baru dilaksanakan.

Itu penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung situasi terkini insiden tembakan dan letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, Thailand berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan malam tadi. 

Menurutnya, sehingga kini, tiada rakyat Malaysia terjejas dan terbabit dalam insiden berkenaan. 

“Bagaimanapun, saya perlu lebih kepastian sebelum menjawab beberapa soalan berhubung insiden itu,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata,  pihaknya ingin memaklumkan bahawa semua pintu masuk Malaysia-Thailand termasuk kaunter imigresen masih dibuka macam biasa.

Menurutnya, sebarang penutupan pintu masuk sempadan bagaimanapun perlu mendapat persetujuan antara kedua-dua negara. 

“Kalau nak tutup kita kena ada kerjasama dengan Thailand dan tidak boleh dia buka dan kita tutup,” katanya. 

Katanya, semua pintu masuk Malaysia-Thailand sudah dibuka sejak Hari Raya ketiga lagi bagi memudahkan rakyat negara ini melawat saudara-mara mereka di negara itu. 

Khairul berkata, sebelum ini, jabatan menetapkan beberapa syarat kemasukan bagi pengembara dari Thailand untuk masuk ke negara ini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN