TAWAU: Cubaan menyeludup masuk rokok bernilai RM 410,200 yang dipercayai dibawa dari Indonesia berjaya dipatahkan.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam Khamis lalu, Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya merampas 3,420 karton rokok pelbagai jenama di Kampung Sri Aman.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, semasa melakukan rondaan Op Benteng Bersama, anggota bertugas mengesan dua buah van dalam keadaan mencurigakan.
Apabila dihampiri van tersebut tidak mempunyai pemandu dipercayai ditinggalkan setelah menyedari kehadiran anggota ATB 2.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa karton rokok yang dimuatkan dalam van tersebut.
“Rokok itu dipercayai diseludup masuk daripada Indonesia ke Tawau oleh sindiket yang didalangi warga tempatan dan warga asing bagi tujuan pasaran gelap di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 3,420 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM 410,200 manakala dua buah van jenis Toyata Hiace dianggarkan bernilai RM 216,00. Nilai keseluruhan rampasan bernilai RM 626,200.
Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) kemudian membawa kesemua barang rampasan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Abdul Karim berkata, kejayaan itu membuktikan sempadan perairan pantai timur Sabah sentiasa dikawal dengan ketat oleh pasukan keselamatan sekali gus membuktikan kepentingan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan negara.- UTUSAN